Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan terima permohonan Ku Nan

Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya agar Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas menteri Wilayah Persekutuan itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Yaacob Md Sam, Rhodzariah Bujang dan Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan Tengku Adnan untuk mengetepikan keputusan Mohd Nazlan yang enggan menarik diri sebelum ini.

Yaacob yang mengetuai panel itu memutuskan, rayuan berkenaan mempunyai merit dan ia mewajarkan campur tangan mahkamah.

Beliau membenarkan rayuan itu agar Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan Tengku Adnan dan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain.

Beliau berkata hakim baru akan membuat keputusan sama ada memulakan kembali kes itu atau meneruskan perbicaraan itu daripada Mohd Nazlan.

Setakat ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan terbabit.

Yaacob menetapkan 18 Feb untuk sebutan kes itu di hadapan Mohd Nazlan susulan keputusan hari ini. Ia juga merupakan tarikh sepatutnya perbicaraan didengar semula.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Mohd Nazlan pada 20 Sept tahun lepas yang menolak permohonan supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Tan Eng Boon, melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaan Tengku Adnan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail Kuala Lumpur pada 27 Disember 2013.

- Bernama