Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Azmin perlu jelaskan langkah rancakkan ekonomi lepas pertumbuhan rendah Q4 2019

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali digesa menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil untuk merancakkan semula ekonomi berikutan pertumbuhan pada kadar rendah pada suku keempat (Q4) tahun lalu.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, ini lebih-lebih lagi apabila wujud kebimbangan pada 2020 susulan pengeluaran minyak sawit yang rendah dan wabak koronavirus Covid-19.

"KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sangat buruk. Q4 2019 pada kadar 3.6 peratus yang sangat rendah dan mengheret kadar pada 2019 kepada 4.3 peratus. Ini adalah kadar pertumbuhan terendah dalam 10 tahun, penurunan daripada 4.7 peratus pada 2018.

"Dalam masa terdekat, kita akan menghadapi masalah pada Q1 (suku pertama) 2020 berikutan pengeluaran minyak sawit yang rendah dan koronavirus.

"Menteri hal ehwal ekonomi perlu menerangkan langkah-langkah seterusnya," kata Wong melalui Twitter hari ini.

Untuk rekod, Wong dikenali merupakan penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Parti itu dilihat berpecah kerana hubungan tegang antara Azmin, yang merupakan timbalan presiden PKR dengan Anwar.

Gesaan Wong itu hadir susulan laporan Reuters hari ini yang menyatakan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 3.6 peratus, iaitu yang paling perlahan dalam tempoh satu dekad pada suku keempat tahun sebelumnya.

Laporan itu mengaitkan keadaan berkenaan dengan kemerosotan pengeluaran kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli, serta eksport yang lebih rendah di tengah-tengah perang perdagangan Sino-Amerika yang sedang berlangsung.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Isnin menyatakan bahawa prestasi fiskal negara dijangka berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun ini "walaupun menghadapi masa yang mencabar".

Perdana menteri dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada bulan Mac yang bertujuan membantu industri tempatan berikutan wabak covid-19.

Malaysia mencatatkan 18 kes positif virus itu, dengan tiga pesakit telah pulih.