Kes Rosmah: Hakim tegur peguam ulang soalan sama
LANGSUNG | Perbicaraan rasuah terhadap bekas isteri perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, melibatkan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bersambung di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.
1.10 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam bela Jagjit Singh agar perbicaraan bersambung esok semasa prosiding terbuka.
Terdahulu, prosiding ditangguhkan untuk makan tengah hari sebelum prosiding diteruskan beberapa minit untuk membolehkan Jagjit membuat permohonan itu.
Difahamkan permohonan itu dibuat kerana Rosmah Mansor kurang sihat.
12.45 tengah hari: Hakim Mohamed Zaini Mazlan menegur peguam Jagjit Singh kerana bertanya soalan sama kepada bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, yang menjadi saksi pendakwaan kelima.
Ia selepas pengulangan bentuk soalan yang sama oleh Jagjit, berhubung motif Mahdzir memberi keterangan terhadap tertuduh perbicaraan ini, iaitu Rosmah Mansor.
Sebelum ini Jagjit telah bertanya soalan yang serupa, apabila meminta Mahdzir mengesahkan bahawa dia memberi keterangan di mahkamah untuk mengelak daripada didakwa dengan tuduhan rasuah.
Mahdzir menafikan dakwaan itu.
"Saya bertanya kepada anda, mengapa mengulang soalan yang sama?" soal Zaini.
Zaini kemudian bertanya berapa lama lagi yang dimahukan Jagjit untuk memeriksa balas Mahdzir.
"Tidak terlalu lama," kata Jagjit.
Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan untuk rehat tengah hari.
12.20 tengah hari: Pasukan pembelaan menunjukkan bukti iaitu rekod minit bekas perdana menteri Najib Razak pada surat daripada Jepak Holdings.
Minit tersebut, seperti yang dibacakan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid di mahkamah, menyatakan Kementerian Pendidikan perlu memantau pelaksanaan projek solar oleh Jepak.
Menjawab soalan peguam Jagjit Singh, saksi pendakwaan itu setuju dengan minit pada surat itu menunjukkan walaupun Najib mahu projek itu dilaksanakan, ia perlu dilakukan menurut prosedur.
Bagaimanapun, Mahdzir tidak setuju dengan cadangan Jagjit bahawa surat kontrak kerja yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan pada 2016 tidak mengikut prosedur kerana ia dibuat sebelum jawatankuasa rundingan ditubuhkan oleh kementerian itu.
12.12 tengah hari: Mahdzir Khalid membantah cadangan peguam bahawa dia mahu menjadikan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai 'kambing hitam' dalam kes berkaitan projek tenaga solar.
Bekas menteri pendidikan itu membuat penafian itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam Akberdin Abdul Kader.
Akberdin merujuk keterangan Mahdzir sebelum ini bahawa dia pada mulanya mengelak pertemuan dengan pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin berkenaan projek itu, dan kemudian setuju untuk menganugerahkannya kepada syarikat tersebut.
Akberdin: Pada mulanya mengelak Saidi, kemudian anda kata (kepada Saidi) kena ikut prosedur, kemudian anda akui ada peraturan yang tak diikuti (oleh Jepak berkaitan projek itu), kemudian anda cari kambing hitam, tolak ke perdana menteri (kata) kononnya dia beri arahan.
Mahdzir: Tak setuju.
Dia juga tidak setuju dengan cadangan peguam Jagjit Singh bahawa dia juga mengalihkan tanggungjawab dalam soal itu kepada isteri Najib, Rosmah Mansor.
11.14 pagi: Peguam Jagjit Singh membuat ikrar "hidup mati" ketika pemeriksaan balas dengan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid.
Keadaan menjadi sedikit panas apabila Jagjit menuduh Mahdzir tidak konsisten dalam keterangan saksinya.
Jagjit: Anda tidak konsisten.
Mahdzir: Dari awal anda nak saya begitu (dilihat tidak konsisten).
Jagjit: Sampai mati pun saya boleh teruskan ini (buat pemeriksaan balas).
Mahdzir: Janganlah.
Selepas respons Mahdzir itu, tercetus gelak ketawa di mahkamah, termasuk Jagjit dan Mahdzir, yang sedikit meredakan ketegangan.
11.05 pagi: Mahdzir Khalid berkata perkara biasa untuk menteri kabinet menunggu untuk bertemu bekas perdana menteri Najib Razak selepas mesyuarat kabinet, untuk mendapatkan arahan.
Bekas menteri pendidikan itu berkata, menteri akan berbaris untuk berjumpa Najib.
Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada menjadi amalan biasa untuk berjumpa Najib selepas mesyuarat kabinet untuk memintanya merekodkan arahan sebagai minit (minute his orders).
Jagjit: Boleh anda sahkan, adakah amalan biasa untuk bawa surat seumpama ini ke mesyuarat kabinet, dan selepas mesyuarat, berjumpa PM dan minta dia letakkan arahan sebagai minit (put his order in minutes)?
Mahdzir: Bukan saya saja, (ada) barisan.
Jagjit: Saya tanya, ia amalan biasa untuk anda?
Mahdzir: Ia amalan biasa, untuk bawa surat kepada PM.
10.52 pagi: Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid tidak setuju dengan ajuan pembelaan bahawa penangguhan projek tenaga solar di Sarawak adalah kerana dia belum menerima apa yang didakwa sebagai rasuah berjumlah RM1 juta.
Saksi pendakwaan itu tidak setuju dengan apa yang dinyatakan oleh peguam bela Jagjit Singh ketika pemeriksaan balas.
Jagjit merujuk kepada rungutan Jepak Holdings kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, berkenaan penangguhan projek tersebut, yang melibatkan 369 sekolah pedalaman di Sarawak.
Jagjit: Rungutan kepada perdana menteri adalah anda tak buat kerja.
Mahdzir: Tak setuju.
10.35 pagi: Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid setuju bahawa surat kontrak kerja projek tersebut diberi kepada Jepak Holdings sebelum kementerian itu dapat menubuhkan jawatankuasa kerja untuk memutuskan terma projek itu dilaksanakan.
Menjawab beberapa soalan daripada peguam Jagjit Singh, Mahdzir berkata ini kerana Najib Razak telah mengarahkannya untuk mempercepatkan pemberian surat itu.
"Saya setuju bahawa jawatankuasa patut ditubuhkan sebelum surat dikeluarkan.
"Tetapi kami tiada peluang untuk melakukannya (sebelum pengeluaran surat)," kata Mahdzir.
10.30 pagi: Peguam Jagjit Singh bertanya kepada Mahdzir Khalid berkenaan keterangan bekas menteri pendidikan itu, bahawa dia ragu dengan kemampuan Jepak Holdings untuk melaksanakan projek tenaga solar untuk 369 buah sekolah di Sarawak.
Jagjit bertanya sama ada Mahdzir membawakan perkara itu untuk dibincangkan di kabinet.
Mahdzir kemudian berkata tiada keperluan untuknya berbuat demikian kerana projek itu di bawah skop Kementerian Pendidikan.
Jagjit kemudian mencadangkan perkara itu tidak dibawa ke kabinet atau parlimen kerana Mahdzir mendapat rasuah daripadanya.
Mahdzir menafikan kenyataan itu.
10.20 pagi: Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid tidak setuju dengan cadangan pembelaan bahawa pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin dan rakan niaganya Rayyan Radzwill Abdullah adalah kroninya.
Dia menafikan cadangan yang dibuat peguam Jagjit Singh dalam pemeriksaan balas.
Jagjit merujuk keterangan Mahdzir berkenaan pertanyaan Najib Razak kepadanya berkenaan identiti Rayyan.
Mahdzir berkata, dia memberitahu Najib bahawa Rayyan adalah rakan niaga Saidi.
Jagjit: Kenapa ini tiada dalam (pernyataan bertulis saksi) anda? Anda baru kata Rayyan adalah wakil Jepak, selain itu, anda anda beritahu yang Rayyan kroni anda?
Mahdzir: Bila mereka (Saidi dan Rayyan) kroni saya? Tak setuju.
Jagjit: Anda ambil duit dari mereka, maka (mereka) kroni.
Mahdzir: Tak setuju.
10.07 pagi: Rosmah Mansor masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.
9.53 pagi: Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor masuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan duduk di bahagian depan galeri awam.
Turut menunggu perbicaraan dimulakan ialah ketua DPP Gopal Sri Ram dan pasukannya, serta barisan peguam bela, antaranya Azrul Zulkifli Stork dan Akberdin Abdul Kader.
Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dijangka meneruskan keterangannya sebagai saksi dalam perbicaraan rasuah terhadap Rosmah Mansor, yang berdepan tiga pertuduhan berkaitan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak
Perbicaraan di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk hari kelima hari ini.
Mahdzir yang memberi keterangan sejak hari kedua perbicaraan pada minggu lalu, menerusi pernyataan bertulis saksi memperincikan bagaimana projek itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd dengan dakwaan bantuan Rosmah, pembantunya Rizal Mansor, suaminya yang juga perdana menteri ketika itu Najib Razak, dan setiausaha Umno Pekan Aazmey Abu Talib.
Menjadi menteri bertanggungjawab ketika kontrak itu diberikan kepada Jepak, Mahdzir berkata dia memiliki keraguan terhadap syarikat itu yang menurutnya tiada pengalaman dalam sistem tenaga solar.
Dia memberitahu mahkamah bahawa projek itu tetap diberikan kepada syarikat itu, dan mendakwa Rosmah dan Najib memberi tekanan kepadanya.
Sementara itu, peguam Rosmah, Jagjit Singh ketika pemeriksaan balas yang bermula Isnin lalu menuduh saksi sebagai seorang menteri yang korup.
Ketika pemeriksaan balas, dia beberapa kali mencadangkan bahawa Mahdzir meluluskan projek itu atas keputusan sendiri, dan mendakwanya mendapat habuan daripada Jepak Holdings.
Antara dakwaan Jagjit adalah Mahdzir membuat persetujuan dengan pengarah urusan Jepak Holdings bahawa dia akan diberikan RM1 juta sebulan selama lima tahun.
Jagjit juga mencadangkan bahawa Mahdzir berbohong ketika dia melibatkan Rosmah dalam keterangannya, dan berbuat demikian kerana ingin mengelak daripada didakwa.
Bekas menteri itu bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan peguam itu.
Dia juga menafikan tahu-menahu tentang satu lagi dakwaan Jagjit, di mana peguam itu bertanya kepadanya sama ada dia tahu Rizal Mansor meminta RM125 juta daripada Jepak atas pertolongan mendapatkan kontrak itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai