Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Maut dilanggar pemandu mabuk: Keluarga mangsa nak ambil tindakan undang-undang

Keluarga mangsa kemalangan di Kilometer 13 Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Butterworth dekat Kepala Batas awal pagi ini akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemandu kereta yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan dua lelaki maut dalam kejadian itu.

Bapa Muhammad Amin Najmi, Azaman Hashim, 49, berkata tindakan undang-undang itu demi keadilan buat anaknya dan sahabat baik anak kedua daripada empat beradik itu, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21, yang maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta berkenaan.

"Saya akan berbincang dengan keluarga Muhamad Syaiful untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk saman ke atas pemandu wanita tersebut. Ini keadilan untuk kedua-dua arwah.

"Saya juga berharap pihak kerajaan dan polis dapat ambil tindakan yang lebih tegas terhadap pemandu mabuk ini kerana sejak kebelakangan ini, kita kerap dengar kes kemalangan maut disebabkan mereka (pemandu mabuk) kes makin meningkat, mereka yang tidak bersalah jadi mangsa," katanya ketika ditemui di bahagian forensik Hospital Kepala Batas hari ini.

Dalam kemalangan pukul 2.30 pagi itu, Muhammad Amin membonceng motosikal Yamaha 125 ZR yang ditunggang Muhamad Syaiful dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Paya Keladi Hujung, di sini sebelum dilanggar dari belakang.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting beberapa meter dan motosikal mereka hangus terbakar manakala wanita yang memandu kereta Toyota Vios serta berada di bawah pengaruh alkohol itu tidak mengalami kecederaan.

Azaman yang bekerja kilang berkata beliau dan isteri, Normasirah Mat Sidik, 47, sempat makan bersama Muhammad Amin pada 11 malam tadi sebelum dia keluar dengan rakannya kerana ada hal kerja yang perlu diselesaikan.

"Ibunya sempat pesan supaya balik awal kerana dia bekerja pagi ini, kami hanya tahu arwah terlibat kemalangan selepas dihubungi pihak polis dan saya terus bergegas ke lokasi kejadian," katanya sambil menambah Allahyarham bekerja sebagai kontraktor pendawaian.

Jenazah Muhammad Amin dan Muhamad Syaiful dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Paya Keladi, hari ini.

-Bernama