Laporan: Bot Rohingya ke Malaysia karam, 14 lemas
GLOBAL | Sekurang-kurangnya 14 nyawa melayang selepas sebuah bot membawa pelarian Rohingya karam di perairan selatan Bangladesh hari ini.
Pihak berkuasa tempatan dipetik media berkata, bot itu dalam perjalanan menuju Malaysia.
Menurut laporan BBC, semua mayat yang ditemukan terdiri daripada perempuan dan kanak-kanak. Dipercayai ramai lagi yang masih hilang.
Sementara itu, AFP melaporkan ada kira-kira 70 orang dapat diselamatkan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pada Ogos 2017 operasi ketenteraan Myanmar ke atas etnik Rohingya yang beragama Islam di negeri Arakan menyebabkan 730,000 orang melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
Ramai Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian di Cox Bazaar, manakala terdapat juga cuba lari dengan bot ke Malaysia.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 17 Januari lalu mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera melindungi penduduk Rohingya daripada tindakan kejam.
Berniat lakukan genosid
Ia keputusan yang dipuji sebagai "kejayaan keadilan antarabangsa" oleh negara kecil Afrika yang membawa kes tersebut ke kepada badan tertinggi PBB untuk pertikaian antara negara itu.
Pada Nov 2019 Gambia memulakan tindakan undang-undang dengan mengheret Myanmar ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dengan mendakwa Naypyitaw melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya dan melanggar Konvensyen 1948.
Keputusan akhir mahkamah mungkin mengambil masa bertahun-tahun, namun ketetapan dibuat ICJ pada Khamis melibatkan permintaan Gambia untuk langkah-langkah awal, lapor Reuters.
Dalam keputusan sebulat suara oleh 17 panel hakim itu, ICJ berkata etnik Rohingya menghadapi ancaman berterusan dan Myanmar mesti bertindak untuk melindungi mereka.
Gambia membawa kes itu ke ICJ atas hujah bahawa semua negara mempunyai kewajiban undang-undang sejagat untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai.
Kes itu dibahaskan bulan lalu oleh beberapa peguam hak asasi manusia, dengan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi sendiri menghadiri perbicaraan di The Hague bagi meminta hakim membatalkan tindakan undang-undang berkenaan.
Penyiasat PBB menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan itu dilaksanakan dengan "niat melakukan genosid".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai