Pegawai imigresen, warga Myanmar disyaki terlibat kes samun
Polis menahan empat lelaki Myanmar dan dua lelaki tempatan termasuk seorang pegawai imigresen yang disyaki terlibat dalam kegiatan peras ugut serta samun warga asing, dalam beberapa siri serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah sejak Jumaat lepas hingga semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T.Narenasegaran berkata polis menerima laporan berhubung beberapa kejadian peras ugut dan samun membabitkan warga asing sejak dua minggu lepas sebelum menjalankan risikan serta intipan bagi mengesan suspek.
"Polis mula menahan dua beranak warga Myanmar pada Jumaat lepas di kawasan Bukit Tengah sebelum menjalankan beberapa siri serbuan dan menahan dua lagi rakannya di sekitar Pulau Pinang, semua mereka berusia 24 hingga 44 tahun.
"Hasil soal siasat polis menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai imigresen berusia 33 dan 44 tahun, di Kedah, semalam, dan sedang berusaha mengesan seorang lagi pegawai imigresen serta rakannya yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun warga asing di sekitar negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang di George Town hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Pengarah III, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Abdul Razak Elias dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, menggantikan Datuk Roslee Chik dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Terengganu.
Mengulas lanjut, Narenasegaran berkata siasatan mendapati dua pegawai imigresen yang bertugas di Kedah itu bersama dua rakan mereka dan empat warga Myanmar berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan peras ugut dan samun warga asing di negeri ini sejak awal tahun ini.
Katanya berdasarkan siasatan warga Myanmar itu akan mencari sasaran di kalangan rakan senegara atau warga asing di sini sebelum memberi maklumat kepada empat lelaki tempatan itu, yang kemudiannya datang ke Pulau Pinang untuk mengugut serta menyamun mangsa.
"Dalam kejadian pukul 1.00 pagi di Bukit Mertajam Jumaat lepas, satu pasangan suami isteri warga Myanmar mengalami kerugian RM21,126 selepas rumah sewa mereka didatangi empat lelaki yang mengaku sebagai pegawai imigresen, dengan seorang daripadanya memakai uniform jabatan itu manakala tiga lagi memakai topi besbol berlogo jabatan itu.
"Mereka membuat pemeriksaan dokumen dan mengatakan pasangan itu disyaki menjadi agen membuat dokumen palsu sebelum tiga daripada lelaki itu masuk menggeledah bilik dan mengambil wang tunai RM21,126,” katanya.
Narenasegaran berkata susulan penahanan enam lelaki itu polis merampas pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM20,000, surat pajak gadai, sejumlah beg dan telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan mereka serta gari, uniform dan kad kuasa jabatan imigresen.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai