Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Saksi: Bank tak buat salah tunaikan cek dicap tandatangan

Affin Bank - yang menjadi bank untuk akaun Yayasan Akalbudi - tidak melakukan kesalahan apabila menunaikan cek-cek mengandungi tandatangan Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dihasilkan menerusi cap.

Menurut Pengurus Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur, S Rajen Taran, untuk cek-cek terbabit Bank itu hanya menerima imejnya sahaja untuk penunaian dan ia adalah hasil imbasan cek asal yang didepositkan di bank penerima selain Affin Bank.

Rajen merupakan saksi ke-27 perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah Ahmad Zahid. Dia memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Semasa pemeriksaan peguam pagi tadi, Rajen mengesahkan terdapat pembayaran berjumlah RM31,082,732.57 dari akaun yayasan itu, melalui kiriman wang menerusi cek jurubank (berjumlah RM17,953,185.21) serta 50 cek (bernilai RM13,129,547.36) yang menurutnya memiliki "tandatangan sah Ahmad Zahid".

Ketika pemeriksaan balas terhadap Rajen, peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh membangkitkan bahawa pihak pembelaan menghantar 49 cek ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

Daripada jumlah itu, katanya 32 cek - termasuk cek yang diteliti Rajen hari ini - didapati dihasilkan oleh cap tandatangan.

Hisyam: Bank (Affin Bank) telah menunaikan 32 cek ini, tanpa kebenaran (authorization) yang sepatutnya daripada Yayasan Akalbudi.

Rajen: Saya tak setuju sepenuhnya dengan kenyataan itu.

Ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya, Lee Keng Fatt, Rajen menjelaskan, apabila sesuatu cek dideposit di bank penerima, ia akan diimbas sebelum imejnya dihantar melalui satu sistem khas ke Bank Negara Malaysia (BNM).

Patutnya pada bank penerima

Melalui sistem itu, katanya, imej cek berkenaan dihantar kepada bank pengeluar cek dan dalam kes itu, Affin Bank.

“Contohnya, jika ada masalah pada cek, mereka (bank penerima) sepatutnya meletakkan catatan dan meminta kami mengesahkan dengan pelanggan, sama ada hendak menunaikannya atau pun tidak.

“Kami perlu buat pengesahan (dengan pelanggan),” jelasnya.

Lee: Jadi apakah ada apa-apa catatan pada cek terbabit?

Rajen: Berdasarkan dokumen ini (yang diperolehi daripada sistem BNM), tidak ada apa-apa catatan (pada imej cek).

Malah, ketika disoal lanjut oleh seorang pagi timbalan pendakwa raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Rajen menjelaskan dalam kes cek dideposit melalui bank penerima, Affin Bank hanya mempunyai sumber imej cek sahaja untuk tujuan pengesahan.

“Itu sahaja sumbernya, itu prosedur bank untuk merujuk kepada imej cek sahaja.

“Cek asal sepatutnya ada pada bank penerima,” katanya.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, bersambung esok.