NGO anti-PPSMI disiasat kerana berjalan ke pejabat PM: Peguam
Lima wakil Gabungan NGO Pendidikan dan Ummah hari ini dipanggil polis berhubung tindakan mereka berjalan ke Pejabat Perdana Menteri pada 7 Feb lalu, ketika membantah pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Peguam yang mewakili NGO berkenaan, Mohd Khairul Azam Abdul berkata, mereka bukan disiasat kerana menyerahkan memorandum bantahan seperti yang difahami sesetengah pihak.
Kesemua mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memberi keterangan hampir dua jam di ibu pejabat Polis Putrajaya.
“Hari ini (siasatan), tiada langsung berkenaan kandungan memorandum tetapi isunya waktu mereka berjalan lepas solat Jumaat dari Masjid Putra ke pondok pengawal Pejabat Perdana Menteri.
“Selepas selesai (solat Jumaat) mereka jalan sama-sama. Hanya itu disiasat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya kepada pemberita selepas anak guamnya selesai memberi keterangan.
Jelasnya, perjalanan sewaktu penyerahan memorandum tersebut hanya mengambil masa 10 minit dengan jarak kurang 500 meter.
Antara wakil NGO yang hadir bagi memberi keterangan adalah Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Awang Sariyan dan wakil dari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad.
Turut dipanggil, Pakar Linguistik Kamal Shukri Abdullah, Pengerusi NGO Gerakan Pembela (Ummah) Mohd Zai Mustafa dan Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Wan Ramli Wan Daud.
Selain Khairul Azam, kelima-lima individu itu turut diwakili peguam Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa.
Pada 7 Feb lalu, Gabungan NGO itu menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri bagi membantah pelaksanaan PPSMI.
Menurut ketua perhimpunan Mohd Zai, kandungan memorandum tersebut antara lain menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membatalkan hasrat mengembalikan program PPSMI.
Selain lima NGO terbabit, antara pertubuhan yang terlibat sewaktu penyerahan memorandum itu adalah Siswa PAS, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), GMP, Pena dan sekitar 50 individu.
Sementara itu, Mohd Zai yang turut memberi keterangan hari ini berkata pihaknya sudah memberi kerjasama penuh kepada polis bagi menjalankan siasatan.
Katanya, beliau difahamkan tiada lagi pihak dari NGO tersebut yang akan dipanggil bagi memberi keterangan.
Isu PPSMI timbul semula tidak lama selepas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, menjadi pemangku menteri pendidikan selepas ia dikosongkan Dr Maszlee Malik.
Mahathir merupakan perdana menteri ketika pelaksanaan PPSMI diperkenalkan pada 2003, namun mendapat bantahan banyak pihak, termasuk demonstrasi besar-besaran pada 2009.
PPSMI kemudian dibatalkan mulai 2012 selepas kajian bebas antarabangsa mendapati tahap pencapaian pelajar merosot dengan teruk sejak ia dilaksanakan.
Pembatalan PPSMI itu diumum menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat.
Namun, baru-baru ini, Dr Mahathir menjelaskan kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung pelaksanaan kaedah pembelajaran berkenaan.
Beliau berkata kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai