22 orang ada kontak rapat dengan pesakit koronavirus dikenal pasti
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 22 orang yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit ke-18 wabak novel koronavirus (2019-nCoV).
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga daripada mereka adalah anggota keluarga pesakit manakala selebihnya adalah kakitangan perubatan.
"Kami meneruskan kerja untuk mengesan individu yang mungkin mempunyai hubungan kontak dengan pesakit (ke-18), selain memberi pendidikan kesihatan serta membendung dan mencegah kes,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Lelaki berumur 31 tahun yang bekerja di Macau, China itu pulang ke Malaysia pada 1 Feb lalu.
Dia dilaporkan mula berasa sakit dan batuk pada 3 Feb, sebelum pergi ke klinik untuk rawatan dan diberi ubat pada 4 dan 6 Feb.
“Pada 7 Feb dia tidak pulih dan mula mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan pada hari yang sama, beliau telah dirujuk ke Hospital Banting, Selangor, untuk pemeriksaan dan rawatan," kata Noor Hisham semalam.
Lelaki tersebut didapati telah mengalami jangkitan Pernafasan Akut Teruk dan memerlukan pemantauan intensif, sebelum diuji positif dengan 2019-nCoV pada 9 Feb.
Sehingga semalam, jumlah jangkitan koronavirus di negara ini adalah 18 kes, tiga daripadanya telah pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai