Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis akan rakam kenyataan Najib, Rosmah dan Dzulkifli

Polis akan merakamkan kenyataan dari bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad tidak lama lagi berhubung pendedahan sembilan set audio perbualan oleh SPRM, bulan lalu.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, polis berkata, percakapan lisan 12 individu telah dirakamkan setakat ini.

“Seramai 12 skasi antara individu yang dikenalpasti di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, termasuk keterangan (ahli parlimen Baling) Azeez Abdul Rahim, (bekas setiausaha sulit Najib) Shukry Mohd Salleh dan (bekas pegawai khas Najib), Amhari Efendi Nazaruddin.

“Rakaman percakapan Dzulkifli Ahmad, Najib Razak dan Rosmah Mansor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katapihak polis.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengadakan sidang media untuk mendedahkan audio perbualan selepas rakaman tersebut disahkan sebagai sahih.

Perbualan tersebut dikatakan berlaku antara Januari hingga Julai 2016. Najib didapati dalam satu klip meminta putera Emiriyah Arab Bersatu untuk membantu melindungi anak tirinya Riza Aziz daripada siasatan Jabatan Kehakiman AS(DOJ) terhadap 1MDB.

Dalam klip lain, Dzulkifli Ahmad membincangkan siasatan 1MDB dengan Najib, isterinya Rosmah Mansor dan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim.

Rakaman itu dikatakan dibuat ketika Dzulkifli masih menjadi timbalan pendakwa raya.

Pendedahan klip ketiga adalah perbualan antara Najib dan isterinya, yang antaranya Rosmah didapati ada meninggikan suara ketika memberi nasihat kepada suaminya mengenai isu 1MDB.

[Baca berita penuh]