‘K’jaan timbang lancar pakej rangsangan ekonomi susulan koronavirus’
Kerajaan sedang menimbang melancarkan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan ekonomi tempatan berikutan cabaran yang dihadapi akibat daripada penularan pantas novel koronavirus 2019, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata industri pelancongan merupakan sektor yang paling terjejas akibat daripada penularan virus itu kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Justeru itu, katanya, kerajaan telah merangka rancangan untuk mengurangkan impak koronavirus ke atas ekonomi.
"Sewaktu kita mengumumkan kempen tersebut, kita tidak menjangkakan penularan coronavirus ini. Tetapi sekarang kita perlu menghentikan penerbangan ke beberapa kawasan di China,” katanya semasa sesi soal jawab bersama syarikat multinasional Perancis, di Putrajaya, hari ini.
Dr Mahathir berkata pelancong China menyumbang bahagian yang besar daripada pasaran pelancong oleh itu keseluruhan industri akan berdepan dengan impak ekoran ketiadaan mereka akibat penularan virus tersebut.
Dilaporkan bahawa syarikat penerbangan seluruh dunia termasuk Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan banyak penerbangan ke dan dari China di tengah-tengah kebimbangan terhadap coronavirus.
Setakat hari ini lebih 900 kematian akibat coronavirus direkodkan dengan lebih 40,000 kes disahkan dicatatkan di seluruh dunia.
Sementara itu mengenai pengambilalihan Malaysia Airlines, Dr Mahathir berkata kerajaan masih belum memutuskan siapa yang akan mengambil alih syarikat penerbangan nasional itu.
Sebelum ini media melaporkan beberapa syarikat penerbangan menunjukkan minat untuk mengambil alih Malaysia Airlines.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai