Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Saya dah jadi PM, jika PAS mahu sokong terima kasihlah’

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu langkah PAS untuk membawa usul “undi percaya” bagi menyokong kepimpinannya pada persidangan Dewan Rakyat, bulan depan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan sokongan tersebut.

“Saya tidak tahu apa yang akan mereka (PAS) lakukan.

“Saya sudah menjadi perdana menteri. Jika mereka mahu menyokong saya, terima kasihlah,” katanya ringkas.

Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas berucap dalam program dialog bersama ahli Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di Cyberjaya, hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, ahli parlimen parti itu akan membawa usul undi percaya bagi menyokong kepimpinan Mahathir ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan depan.

Katanya, usul menyokong kepimpinan perdana menteri sehingga tamat penggal ini bertujuan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara yang menurutnya terdapat banyak kemelut belum selesai.

PAS secara terbuka menyuarakan sokongan kepada kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri sehingga mandat pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan tamat pada 2023.

Umno juga turut dilaporkan tidak menolak kemungkinan menyokong usul “undi percaya” yang akan dibawakan PAS itu , sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, timbalan presidennya, Mohamad Hasan berkata, Umno akan mendapatkan penjelasan PAS terlebih dahulu dalam mesyuarat Muafakat Nasional, sebelum membuat keputusan secara bersama.