Rumah terbuka Jakim, kumpulan Cina Muslim pupuk persefahaman
Ketika isu melibatkan ketegangan kaum kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, suatu majlis rumah terbuka menyambut perayaan Tahun Baru Cina berlangsung dengan tujuan memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) bersama menganjurkan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur hari ini yang menyaksikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.
Majlis tersebut diadakan untuk mempromosikan keindahan masyarakat berbilang kaum dan agama, serta memadamkan persepsi bahawa seseorang itu akan menjadi Melayu jika mereka masuk Islam, menurut Jakim.
“Tujuan program adalah untuk memperkenalkan konsep keindahan bermasyarakat yang hidup berbilang bangsa dan agama dalam persekitaran harmoni.
“Selain itu ia juga untuk merai dan menyantuni masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di samping menangkis salah tanggapan bahawa jika memeluk agama Islam itu sebagai masuk Melayu.
“Selain itu, ia juga bertujuan menunjukkan bahawa mana-mana adat sesuatu bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat boleh diterima dalam Islam.
“Sambutan dibuat dalam bentuk santai dan harmoni yang melibatkan Islam dan bukan Islam. Ini menggambarkan Islam tidak membenci atau memusuhi bukan Islam sekaligus menyangkal salah faham dan dakwaan bahawa Islam agama yang menganjurkan keganasan,” kata Jakim.
Program yang menyaksikan kehadiran kira-kira 300 orang ramai berbilang kaum, dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan seperti orkestra Cina, tarian singa, pameran fesyen kanak-kanak (gambar, atas) dan tarian topeng Sichuan.
Terdapat juga banyak makanan Cina Muslim yang disediakan termasuk 'yee sang gergasi' sepanjang lebih dari dua meter.
Sekumpulan tetamu yang hadir, termasuk Wan Azizah dan Mujahid berkumpul untuk sesi menggaul yee sang.
Sambil penari singa dan penari topeng Sichuan dengan pertunjukan wajah berubah-ubah mengelilingi dewan bergerak ke setiap meja melakukan persembahan mereka, kelihatan para hadirin beramah mesra penuh muhibah dalam suasana harmoni.
"Saya sangat berharap usaha yang efektif ke arah meningkatkan semangat perpaduan dilipat gandakan di semua peringkat, sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, komuniti mahupun keluarga.
“Dalam masa yang sama, umat Islam di Malaysia juga seharusnya menyampaikan kepada semua bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat untuk sekalian alam, bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil Alamin," kata Wan Azizah ketika berucap pada majlis itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai