M'sia perluas sekatan perjalanan terhadap Zhejiang, Jiangsu di China
Sekatan perjalanan ke Malaysia, yang kini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, pusat penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), kini diperluaskan kepada Wilayah Zhejiang dan Wilayah Jiangsu berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini berikutan tindakan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membuat sekatan pergerakan keluar dan masuk terhadap Wilayah Zhejiang melibatkan lima bandar dan Wilayah Jiangsu (dua bandar).
“Selaras dengan keputusan pada 27 Jan lalu iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China, maka diputuskan sekatan perjalanan yang sebelum ini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei akan diperluaskan terhadap dua lagi wilayah berkenaan berkuat kuasa serta merta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.
Kerajaan pada 27 Jan lepas menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekelilingnya.
Pada masa yang sama, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperketatkan lagi syarat sekatan untuk memastikan semua pelancong tanpa mengira kerakyatan yang pernah mengunjungi atau berada di tiga wilayah terlibat supaya tidak memasuki negara ini dalam tempoh 14 hari selepas itu.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan belum bercadang untuk mengenakan sekatan terus perjalanan keluar masuk dari China.
“Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JIM dan agensi lain yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru juga perlu meningkatkan aspek kawalan.
“Petugas turut diminta memberi nasihat yang sewajarnya kepada orang ramai yang melalui pintu-pintu masuk ini,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai