Anwar: Pakatan Nasional khabar angin, ada unsur penipuan
Presiden PKR menyifatkan khabar angin berkenaan penubuhan kerajaan baru merangkumi anggota parlimen Bersatu, Umno dan PAS serta sejumlah anggota parlimen parti komponen PH yang lain, adalah satu penipuan.
Anwar juga berkata dakwaan berkenaan jumlah anggota parlimen PH yang akan menyertai kerajaan baru itu "dibesar-besarkan" dan berdasarkan pengiraan peribadi oleh pemimpin pembangkang.
"Mereka kata enam (MP) Amanah (akan lompat), kita periksa, tak betul. Jadi ada unsur penipuan untuk psy-war (perang saraf) mereka.
"(Mereka juga kata) 15 dari PKR, kita periksa, tak betul...Pastinya jumlah itu dibesar-besarkan," katanya ketika ditemui pemberita dalam sebuah program di Negeri Sembilan, hari ini.
Beliau yang juga anggota parlimen Port Dickson itu membangkitkan usaha mengaitkan khabar angin itu dengan Bersatu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Ini tak baik...Perkara ini tak pernah dibangkitkan (oleh Mahathir)," katanya berkenaan khabar angin gabungan "Pakatan Nasional" yang dikatakan melibatkan Bersatu dengan Umno dan PAS.
Jika ia dibangkitkan, kata Anwar lagi, anggota Majlis Presiden PH akan terbuka untuk menyuarakan pandangan.
"Pelbagai isu termasuk dasar PH dan peralihan (kuasa) dibincangkan (sebelum ini), jad itak benar kalau kata pemimpin PH menikus dan tak berani bersuara," katanya lagi.
Spekulasi berkenaan penubuhan kerajaan baru itu meledak minggu lalu selepas Lokman Noor Adam, ketika itu anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengecam presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa mahu mengikut PAS untuk bekerjasama dengan Mahathir.
Beliau juga mendedahkan rakaman audio yang dikatakan sebagai milik Zahid, yang menyarakan hasrat untuk menyelamatkan Umno kerana tidak mahu parti itu "tertinggal di belakang".
Lokman dipecat daripada Umno semalam. Walaupun tiada sebarang sebab dinyatakan, ia berpunca daripada pendedahan rakaman audio tersebut.
Semalam Zahid memberitahu Malaysiakini bahawa spekulasi berkenaan hasrat Umno untuk bekerjasama dengan Bersatu hanyalah khabar angin dan langsung tidak dibincang dalam mesyuarat MT semalam.
Diminta mengulas perkara itu, Anwar hanya berkata ia sesuatu yang baik jika Zahid menafikannya.
"Ketika PRU 2018, PH memang menonjolkan Mahathir sebagai calon perdana menteri, dan calon perdana menteri berikutnya Anwar.
"Mandat rakyat atas perkara itu, jadi mereka (BN) tak boleh kata kita hijack. (Persetujuan) Itulah yang diterangkan kepada rakyat," katanya.
Terdahulu, Zahid didakwa cuba membawa pemimpin Umno dan PAS untuk bekerja dengan Mahathir. Perkara itu dikatakan dibawa dalam satu mesyuarat Muafakat Nasional.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menghangatkan lagi spekulasi itu apabila menyatakan parti itu "secara dasar" setuju dengan pembentukan Pakatan Nasional sebagai gagasan baru kerajaan perpaduan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai