Jaminan Xi pada Trump: China akan 'kalahkan' koronavirus
GLOBAL | Presiden China Xi Jinping dilaporkan memberi jaminan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa kerajaannya sedang berusaha habis-habisan untuk menangani wabak novel coronavirus, atau 2019-nCoV.
Menurut Reuters yang memetik laporan televisyen China, Xi memberi jaminan itu menerusi perbualan telefon dengan Trump hari ini.
Xi berkata usaha pihaknya sedang menunjukkan hasil secara berperingkat dan yakin virus itu akan dapat diatasi tanpa kesan jangka panjang kepada ekonomi.
Panggilan telefon oleh Xi itu, menurut laporan itu lagi, di tengah-tengah warga China menyuarakan kesedihan dan kemarahan susulan kematian Li Wenliang, doktor pakar mata yang merupakan antara orang paling awal memberi amaran berkenaan koronavirus.
Sebelum ini, Xi dilaporkan mengisytiharkan "perang rakyat" terhadap virus itu dengann berkata, "seluruh negara telah bertindak balas sehabis mungkin dan mengambil langkah kawalan dan pencegahan paling menyeluruh dan ketat."
Bertugas di Wuhan Central Hospital, lelaki berusia 32 tahun itu meninggal dunia awal pagi tadi selepas dirawat di hospital akibat jangkitan koronavirus sejak 12 Januari lalu.
Dia dipercayai mendapat virus itu ketika merawat seorang pesakit glaukoma, tanpa mengetahui pesakit itu telah dijangkiti koronavirus.
Menurut laporan sebelum ini, pada 30 Disember Li dan tujuh lagi doktor memberi peringatan kepada doktor lain di media sosial berkenaan tujuh kes "virus baru misteri" yang mirip Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.
Empat hari kemudian, dia didatangi pegawai Biro Keselamatan Awam yang memintanya menandatangani satu surat. Antara kandungan surat itu ialah dia didakwa “membuat kenyataan palsu” yang “mengganggu keamanan sosial dengan teruk”.
Bagaimanapun, akhir bulan lalu, Dr Li memuat naik salinan surat yang ditandanganinya itu di Weibo, menjelaskan apa yang terjadi.
Dia juga menggambarkan kecuaian tindak balas pihak berkuasa tempatan di Wuhan ketika tempoh awal virus itu tercetus. Pihak berkuasa tempatan dilaporkan telah memohon maaf kepadanya.
Kematian Li menjadi topik utama warga China di media sosial dengan ramai menganggapnya sebagai wira dan berkongsi puisi dan lukisan sebagai tanda penghargaan.
Menurut Reuters, beberapa media China menyifatkannya sebagai "wira yang sanggup menyatakan kebenaran"
Akhbar milik Parti Komunis China, People's Daily pula menulis demikian di Twitter: "Kami sangat sedih dengan kematian doktor Li Wenliang ... Li meninggal dunia pada jam 2.58 pagi (waktu tempatan) 7 Februari selepas usaha untuk menyedarkannya tidak berjaya."
Jadi kota hantu
Laporan Reuters turut membangkitkan langkah penutupan bandaraya dan kilang, serta pembatalan penerbangan susulan penularan virus itu.
Beijing kini umpama bandar mati selepas arahan kuarantin oleh kerajaan dengan barang keperluan kehabisan stok di kedai-kedai, kata laporan itu berkenaan kota dengan penduduk seramai 11 juta itu.
Angka terbaru kematian akibat virus itu seperti diumumkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China kini mencecah 636, dengan jumlah jangkitan meningkat kepada 31,161.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai