Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah bebas anggota polis tuduhan miliki dadah

Seorang anggota polis, Romzi Mamat dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.4 gram.

Romzi, 59 dituduh memiliki dadah berkenaan pada tahun Oktober 2017 lalu.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes 'prima facie' terhadap tertuduh.

Terdahulu dalam prosiding, Romzi diwakili peguam bela, Mohd Taqiyuddin Yahya.

“Pihak pendakwaan mengemukan 10 orang saksi, termasuk pakar dari Jabatan Kesihatan.

“Bagaimanapun pihak peguam bela berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap anak guam kami,” katanya.

Bagaimanapun, mengulas lanjut, Mohd Taqiyuddin berkata pihaknya akan sekali lagi membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat siasatan kes melibatkan anak guamnya.

“Saya akan majukan ketidakpuasan hati anak guam saya ini dengan membuat satu lagi laporan polis berhubung kebocoran dokumen siasatan,” katanya.

Menurut Taqiyuddin, walaupun anak guamnya telah dibebaskan namun pihaknya berpandangan undang-undang tetap undang-undang, yang patut disiasat perlu disiasat.

“Kita nak tahu siapa yang bertanggungjawab dalam pemalsuan kes siasatan ini. Kita juga tak nak kertas siasatan ini dijadikan alat untuk menganiaya seseorang melalui mahkamah

“Kita nak bersihkan nama anak guam kami. Kita mahu slogan bersih, cekap dan amanah seperti yang dinyatakan dan kita tak nak nampak ada kelompongan yang mana boleh menyebabkan kesengsaraan kepada seseorang,” tambahnya.

Bagaimanapun, Romzi ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut, namun menyatakan rasa kesal dan sedih di atas apa yang telah berlaku.

Romzi digantung tugasnya selama hampir tiga tahun sementara siasatan dan perbicaraan kesnya.

Sebelum ini, kes Romzi disiasat di bawah sekumpulan anggota polis yang digelar penduduk Kampung Sungai Buloh sebagai 'narko Subang' yang didakwa melakukan pemerasan.

Sementara itu, pada 29 Januari lalu seorang anggota polis dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan mengenai pemalsuan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Polis terbabit dihadapkan ke mahkamah selepas Romzi membuat aduan mengenai pemalsuan dokumen dalam kes dadah melibatkan dirinya.

Hari ini, mahkamah membebas dan melepaskan Romzi daripada pertuduhan kes dadah yang mana terdapat dokumen yang didakwa telah dipalsukan.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin (gambar, atas) pada 14 Januari lalu pula menjelaskan jika benar terdapat pegawai polis yang memeras ugut penduduk Kampung Sungai Buloh, di Sungai Buloh, mereka akan ditangkap.

Jelasnya, beliau juga terbuka dan sedia memberi kerjasama jika SPRM mahu menyiasat dakwaan pemerasan yang didakwa melibatkan wang sehingga lebih RM20,000 itu.

“Kalau terdapat laporan, suruh mereka (SPRM) siasat dengan lebih lanjut. Saya beri kerjasama.

“Kalau terdapat salah laku, tangkap saja (pegawai polis) yang terlibat. Saya terbuka,” katanya.

Malaysiakini melaporkan penduduk Kampung Sungai Buloh membuat laporan SPRM terhadap polis di kawasan itu pada 14 Januari lalu yang didakwa menahan anak muda dan memeras ugut keluarga mereka.

Dakwa penduduk itu, sekumpulan polis Jabatan Narkotik IPD Sungai Buloh menjalankan pemerasan itu sejak tahun lalu.

Polis terbabit dikatakan meronda pada tengah malam dan menangkap kumpulan anak muda yang melepak, sebelum dibawa ke rumah masing-masing untuk dilakukan penggeledahan bagi mencari dadah.

Apabila mencari sampai 20 hingga 30 minit tidak jumpa, akan ada seorang anggota yang tiba-tiba masuk dan buat-buat mencari.

“Selepas itu, dia akan tunjukkan satu paket barang dipercayai dadah dan yakinkan keluarga itu kepunyaan anak-anak mereka,” kata penduduk itu yang enggan identitinya didedahkan.

Tambahnya, ada yang dipaksa membayar sehingga RM27,000 bagi membebaskan anak mereka dari didakwa di mahkamah.

Kegiatan itu turut diakui Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar yang berkata tujuh polis ditangkap susulan isu sama Disember lalu.