Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Wabak koronavirus: Kawalan sempadan makin diperketat

Kerajaan memperketatkan lagi kawalan di sempadan negara ekoran perkembangan terkini wabak novel coronavirus 2019-nCOV yang berpunca dari Wuhan, China.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata jumlah mesin pengimbas terma (thermal scanner) dan makmal ujian akan ditambah bagi menyegerakan keputusan analisis sesuatu sampel.

Menurut Wan Azizah selain hospital kerajaan, Kementerian Kesihatan juga akan memperluaskan kemudahan menjalankan ujian pengesanan 2019-nCoV kepada makmal swasta.

Ketika ini ada 18 makmal membabitkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), empat makmal kesihatan awam negeri dan 12 makmal hospital kerajaan di seluruh negara.

"Sekatan perjalanan yang kini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei dan Wuhan akan diperluaskan meliputi wilayah-wilayah lain yang di lockdown oleh kerajaan China," katanya lagi dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri menambah, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan menyekat perjalanan sebaik sahaja China mengisytiharkan sesuatu wilayah di negara terbabit di-lockdown.

Terdahulu belaiu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara dengan dihadiri beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Semua akan disaring

Menurut Wan Azizah Kementerian Luar juga sedang menyelaraskan 212 kakitangan kurang penting di kedutaan atau konsulat untuk pulang segera ke Malaysia.

"Setibanya di KLIA, mereka akan dibawa ke tempat pemeriksaan kesihatan untuk menjalani saringan termasuk pengambilan sampel klinikal.

"Mereka yang mempunyai gejala akan terus di bawa ke hospital, manakala yang tiada gejala akan dibenarkan pulang dan diletakkan di bawah pemantauan di rumah (home surveillance) selama 14 hari.

"Mereka dikehendaki segera melaporkan diri ke klinik atau hospital berdekatan jika mempunyai gejala seperti batuk, selesema, demam, sesak nafas atau masalah kesihatan yang lain," katanya.

Gambar fail

Menurut Wan Azizah sehingga jam 8 malam ini, seramai 10 orang membabitkan dua keluarga kakitangan kurang penting dari Guangzhou tiba di KLIA dan dibawa terus ke tempat pemeriksaan kesihatan untuk menjalani saringan.

"Mereka telah dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani pemantauan," katanya.

Beliau menambah kerajaan juga sedia membantu 34 warganegara Malaysia yang masih ada di Wuhan tetapi tidak dapat kembali bersama 107 yang lain pada 4 Feb lalu.

"Bagaimanapun, buat masa ini mereka tidak boleh keluar dari wilayah tersebut berikutan sekatan keluar masuk yang dikenakan oleh kerajaan China," katanya.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata, penganjuran program atau aktiviti rasmi di tempat awam masih boleh diteruskan kecuali pihak penganjur sendiri berhasrat untuk membatalkannya.