Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Majikan perlu sediakan petempatan selesa untuk pikat warga tempatan

Majikan terutamanya dalam sektor pembinaan perlu menyediakan tempat tinggal yang selesa supaya menjadi tarikan kepada warga tempatan untuk bekerja dalam sektor itu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar.

Beliau berkata petempatan terancang itu dapat meningkatkan lagi bilangan pekerja tempatan dalam sektor tersebut memandangkan negara pada masa ini masih bergantung kepada tenaga kerja asing terutama bagi sektor yang kurang mendapat tumpuan.

“Kita mahu supaya majikan mesti berjiwa Malaysia, kalau tidak ada orang tempatan ingin bekerja di sektor tertentu, barulah kita benarkan pengambilan pekerja asing.

"Oleh itu majikan perlu fikir bagaimana cara menarik pekerja tempatan memohon sesuatu jawatan.

“Kalau dilihat, masih ada majikan yang mengabaikan hak dan kebajikan pekerja dengan menempatkan mereka di penginapan tidak kondusif.

"Kalau dulu pekerja duduk di rumah kongsi kayu dengan keadaan tidak selesa dan keselamatan tidak terjamin, ini salah satu sebab pekerja tempatan tidak tertarik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kuarters Pekerja Serdang yang menempatkan pekerja Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Serdang, hari ini.

Nasihat sebelum kuat kuasa

Mahfuz berkata setiap majikan juga perlu mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang diluluskan Parlimen Julai tahun lepas bagi memastikan pekerja dalam semua sektor menikmati sistem perumahan lebih baik, kemudahan asas yang selesa serta tidak memberi kesan negatif kepada keharmonian penduduk.

Mengakui masih ada majikan yang ingkar menyediakan petempatan pekerja tanpa prosedur, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah menasihati dan jika majikan tidak mematuhinya, tindakan penguatkuasaan akan dibuat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Sdn Bhd (MRT Corp) Abdul Yazid Kassim berkata tujuh kuarters pekerja di MRT dengan kapasiti maksimum untuk 4,200 penghuni itu dapat menempatkan pekerja yang bekerja di pakej bertingkat selatan.

“Pembukaan Kuarters Pekerja Serdang pada hari ini merupakan bukti komitmen MRT Corp yang tidak berbelah bahagi memastikan penginapan dan kebajikan pekerja mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan, terdapat 11 kuarters pekerja dibina di bawah laluan SSP dengan jumlah kapasiti 7,350 penghuni. Tujuh daripadanya dibina di Serdang, tiga di Sungai Buloh dan satu di Cochrane, Kuala Lumpur.

- Bernama