Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

DAP tolak khabar angin kerjasama Zahid-Dr M

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menolak khabar angin berhubung dakwaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyarankan kerjasama politik dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Kita jangan buang masa terhadap khabar angin itu. Akan ada khabar angin berterusan di sana sini. Sudah tentu, ramai oportunis mahu menggugat kerajaan.

"Setakat yang kita tahu, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir adalah kukuh dan stabil.

"Jangan buang masa terhadap khabar angin," kata setiausaha penganjur kebangsaan DAP itu kepada media selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.

Sebaliknya, Loke meminta semua pihak untuk memberi tumpuan kepada isu memerangi wabak koronavirus baru.

"Kita sedang menghadapi krisis, seluruh dunia sedang menghadapi krisis. Kita perlu bekerja untuk kebaikan negara dan melawan virus dan memulihkan industri kita

"Banyak industri telah terjejas ekoran wabak virus ini," katanya.

Pada Isnin lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam mendedahkan rakaman audio mendakwa Zahid cuba meyakinkan pemimpin parti semasa mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno bahawa parti pembangkang perlu bekerjasama dengan Mahathir.

Beliau berkata antara sebab diberikan Zahid adalah agar Umno tidak diharamkan, atau ketinggalan kerana PAS juga mahu bekerjasama dengan Mahathir.

Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah bagaimanapun berkata Zahid hanya mencadangkan idea berkenaan untuk dibincangkan.