Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

AirAsia X tubuh Jk semak dakwaan rasuah Airbus - Laporan

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X akan membentuk satu jawatankuasa lembaga untuk menyemak dakwaan rasuah oleh Pejabat Penipuan Berat atau Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom, lapor Reuters.

Ia berdasarkan kepada satu pemfailan di Bursa Malaysia semalam.

Menurut laporan Reuters, jawatankuasa itu nanti bakal terdiri daripada anggota bukan eksekutif lembaga pengarah, tidak termasuk Kamarudin Meranun dan Tony Fernandes yang juga pengasas bersama syarikat induk Air Asia Group.

Pada Isnin, AirAsia Group berkata, ia juga menubuhkan satu jawatankuasa untuk meneliti dakwaan rasuah itu dan ketua pegawai eksekutif Tony Fernandes serta pengerusi Kamarudin akan berundur sekurang-kurangnya selama 2 bulan ketika pihak berkuasa dan syarikat penerbangan itu menyiasat dakwaan terbabit.

Pada pengumuman kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata, langkah itu adalah bagi tempoh dua bulan atau jangka masa yang difikirkan sesuai oleh syarikat.

Kamarudin dan Fernandes dalam satu kenyataan bersama Isnin lalu berkata, keputusan melepaskan jawatan mereka bertujuan memberi peluang untuk siasatan penuh dan bebas dilakukan oleh AirAsia.

Fernandes dan Kamarudin menafikan sebarang dakwaan salah laku.

Pada Jumaat, pejabat SFO di United Kingdom mendakwa Airbus memberi rasuah AS$50 juta kepada eksekutif yang dikaitkan dengan AirAsia dan AirAsia X bagi mendapatkan pesanan kapal terbang.

SFO berkata, Airbus menaja pasukan sukan yang dimiliki oleh eksekutif AirAsia semasa perundingan pembelian kapal terbang.

“Tujuan utama jawatankuasa ialah menyemak dakwaan yang melibatkannya (AirAsia X), dan mengambil apa-apa langkah perlu, termasuk melantik pakar bebas,” lapor Reuters memetik pemfailan tersebut.

Ia berkata, jawatankuasa itu akan mengendalikan semua isu berkaitan semakan tersebut.