Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PGA rampas 1.8 tan daun ketum disorok dalam kandang lembu

Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1.8 tan daun ketum yang disembunyikan di dalam 76 guni di kawasan kandang lembu di Kampung Sena, dekat Padang Besar, menerusi Op Wawasan Kedah/Perlis semalam.

Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam kejadian kira-kira 10.45 malam itu, sepasukan anggota sedang membuat rondaan di tepi jalan berhampiran Felda Lubuk Sireh apabila terlihat sebuah kereta jenis Naza Citra dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota PGA mengekori kereta tersebut dan berhenti di dalam kawasan kandang lembu, lalu mengepung serta menahan pemandu kereta terbabit kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata berlaku pergelutan antara anggota polis dengan seorang lagi suspek yang bertindak melarikan diri berhampiran kawasan kandang lembu itu, namun dia akhirnya diberkas polis.

PGA turut merampas dua alat penimbang, dua kereta termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda serta dua buah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM310,200.

Kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berumur 23 dan 37 tahun yang menganggur itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

- Bernama