Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘PMO wujudkan FLOM untuk Rosmah atas arahan lisan’

KES ROSMAH l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) semata-mata menerima arahan lisan untuk mewujudkan bahagian First Lady of Malaysia (FLOM).

Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Pengurusan Perkhidmatan PMO, Huzairi Zainal Abidin, 43, pada perbicaraan hari pertama kes rasuah RM6.5 juta dihadapi isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor berkata, bahagian-bahagian di PMO distrukturkan semula pada 2009.

Katanya, beliau diarahkan oleh Ab Aziz Kassim, setiausaha sulit kanan Najib, untuk menubuhkan sebuah bahagian baru untuk mengendalikan hal ehwal yang melibatkan isteri perdana menteri itu.

"Setakat yang saya ingat, terdapat juga arahan untuk menamakan bahagian baru itu sebagai bahagian First Lady of Malaysia, tetapi saya tidak ingat siapa yang memberikan arahan itu.

"Tiada dokumen menunjukkan penubuhan bahagian FLOM kerana penubuhannya berdasarkan arahan lisan dan melibatkan kegunaan dalaman PMO sahaja," ," kata Husairi.

Kakitangan FLOM kemudian meningkat kepada lima orang pegawai termasuk bekas pegawai khas Najib, Rizal Mansor, daripada awalnya hanya seorang pegawai, katanya.

"Selain pegawai, kakitangan sokongan turut diambil untuk melakukan kerja-kerja perkeranian tetapi saya tidak dapat ingat berapa jumlah mereka," katanya.

Menurutnya, tidak ada belanjawan khusus yang diperuntukkan untuk menjalankan aktiviti tetapi kakitangannya layak untuk menuntut elaun pengangkutan dan kerja lebih masa jika mereka perlu menghadiri dan menganjurkan acara seperti yang diarahkan.

"Para kakitangan dan pegawai bahagian ini dibayar di bawah bajet PMO," katanya sambil menambah bahawa FLOM disenaraikan dalam direktori laman web PMO.

Namun, kata Husairi yang membacakan pernyataan saksi di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, penggunaan nama FLOM itu menjadi isu besar kerana ada pihak yang beranggapan gelaran FLOM adalah untuk Permaisuri Agong.

Susulan itu, katanya, nama FLOM ditukarkan kepada Bahagian Khas pada Ogos atau September tahun yang sama bagi mengelakkan salah faham, namun fungsinya tetap sama.

 

“Sebelum pemerintahan Najib, isteri perdana menteri terdahulu hanya diberi bantuan seorang setiausaha sulit khas yang berperanan untuk menyelaraskan program yang perlu dihadiri oleh isteri perdana menteri.

“Sebelum ini bahagian FLOM tidak pernah diwujudkan di PMO,” katanya sambil menambah isteri-isteri bekas perdana menteri, termasuk Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hanya diperuntukan khidmat seorang setiausaha sulit.

Dalam pernyataan pembukaannya, pendakwa raya utama Gopal Sri Ram berkata Rosmah begitu berpengaruh walaupun beliau tidak mempunyai sebarang kedudukan rasmi dalam kerajaan.

"Dia meletakkan dirinya dalam kedudukan boleh mempengaruhi keputusan dalam sektor awam.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan mengikut keadaan untuk menunjukkan tertuduh meminta dan menerima suapan seperti didakwa dalam pertuduhan terhadapnya," katanya,

[Baca berita penuh]