Berita palsu koronavirus: AG janji tidak guna Sek 233 Akta 588
KORONAVIRUS l Jabatan Peguam Negara berikrar akan mengheret mereka yang menyebarkan maklumat palsu mengenai wabak koronavirus tetapi berjanji tidak akan menggunakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588).
Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata, msekipun peruntukan berkenaan adalah pilihan, namun ia tidak sesuai dengan kategori kesalahan yang dilakukan pada masa-masa lalu.
"Adalah jelas bahawa Seksyen 233 tertakluk kepada pindaan parlimen, mudah-mudahan tidak lama lagi," kata Thomas.
Seksyen 233 Akta memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Thomas berkata bahawa individu yang menyebarkan berita palsu tentang wabak koronavirus akan sebaliknya didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
"Elemen utama dalam peruntukan ini ... adalah membuat atau menyebarkan sebarang kenyataan atau khabar angin yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran terhadap ketenteraman awam," katanya.
Kerajaan sebelum ini berjanji untuk meminda Seksyen 233 dan 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan alasan ia sering disalahgunakan.
Sementara itu, Thomas berkata adalah penting untuk menghentikan panik awam apabila wabak berlaku bagi membolehkan pihak berkuasa memberi petunjuk kepada rakyat supaya berdepan krisis dengan tenang.
Beliau berkata atas kepentingan nasional bahawa mereka yang memulakan atau menyebarkan pembohongan berhubung sebarang isu yang berkaitan dengan wabak itu akan disiasat dan dikenakan tindakan jika ada kes.
"Tiada kebebasan mutlak dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa dalam sejarah," katanya.
"Perlembagaan menjamin kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat manakala jaminan untuk tidak menapis internet yang dinyatakan mengikut seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak memberikan lesen untuk menyebarkan kebohongan."
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai