Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nizar tolak cek RM254,150 Razman

Sehari selepas diancam untuk memulakan prosiding memufliskannya, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menghantar wakil dengan sekeping cek untuk diserahkan kepada peguam Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, Mohd Fitri Asmuni di Ipoh, hari ini.

Bagaimanapun kata Mohd Fitri, cek itu tidak diterima oleh Mohammad Nizar kerana berstatus cek tertangguh (post-dated cheque) bertarikh 10 Februari 2020.

"Lebih kurang pukul 11.30 pagi tadi, ada 3 atau 4 orang datang ke pejabat saya. Saya ingatkan siapa, rupa-rupanya wakil Razman datang untuk serah cek bagi bayaran ganti rugi saman fitnah kepada anak guam saya (Mohammad Nizar).

"Tetapi bila saya tengok cek itu, ia bukan berstatus current cheque (cek semasa) tetapi post-dated cheque bertarikh 10 Februari 2020," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mohammad Nizar yang juga bekas menteri besar Perak akan mengambil tindakan segera bagi mengisytiharkan Razman sebagai individu muflis.

Ia susulan kenyataan bekas bendahari PAS Pusat itu yang menyatakan tidak mempunyai kemampuan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 selepas disabitkan bersalah memfitnah Mohammad Nizar.

Fitnah tersebut dibuat melalui kenyataan yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Jun 2015 melalui rencana bertajuk "Pendekatan Nizar mirip DAP".

Sebagai rekod jumlah keseluruhan yang perlu dibayar Razman sebanyak RM254,150 termasuk kos dan faedah lewat bayar selepas gagal membayar dalam tempoh berakhir 20 Januari lalu.

Sementara itu Mohd Fitri berkata, Nizar memaklumkan bahawa hanya cek semasa yang boleh diterima.

"Selepas saya hubungi Nizar, beliau mahukan cek itu mesti current date cheque, bukan post-dated cheque. Jadi saya tak boleh terima cek tersebut," katanya.