Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pendengaran lucut harta RM677,872 BN Johor Bahru 19 Februari

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 19 Feb ini bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM677,872.55 yang disita daripada Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru.

Wang itu yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu ketika pendengaran kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali dan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros dan Syahrul Syazwan Salehin mewakili BN Bahagian Johor Bahru.

Ahmad Shahrir juga memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan pada 10 Feb manakala 14 Feb untuk pihak peguam memfailkan hujahan balas.

Pada 27 Sept tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pendakwaan untuk memasukkan nama pemegang jawatan BN Bahagian Johor Bahru dalam notis melucut hak harta cawangan parti politik itu berjumlah RM677,872.55.

Sebelum ini, dalam satu sidang akhbar, Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

- Bernama