Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas presiden Swiss kesal kebangkitan 'politik kebencian' di seluruh dunia

WAWANCARA | Bekas presiden Switzerland, Ruth Dreifuss, 80 tahun seorang yang teguh dengan prinsipnya dan memiliki semangat untuk melakukan reformasi terhadap kemanusiaan. Beliau wanita pertama yang dipilih sebagai presiden negara itu pada 1999.

Dreifuss juga pernah berkhidmat sebagai menteri dalam negeri Switzerland dari 1993 ke 2002 dan telah melaksanakan beberapa perubahan bermakna. Kementerian ini mencakupi portfolio yang meluas termasuklah kesihatan awam, pengajian tinggi, budaya dan alam sekitar.

Ketika menjadi presiden, beliau bertanggungjawab melaksanakan dasar pengurangan mudarat dalam menangani masalah ketagihan dadah dan pencegahan penularan HIV/ Aids.

Dreifuss turut berjaya memperkenalkan undang-undang baru insurans kesihatan yang menjamin perlindungan sejagat kepada semua rakyat Swiss.

Selepas bersara daripada kerajaan, beliau mempengerusikan suruhanjaya yang dimandatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kesihatan awam, inovasi dan hak harta intelek, serta mempengerusikan panel yang sama di bawah mandat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Selaku pengerusi Suruhanjaya Polisi Dadah Global dan naib presiden Jawatankuasa Penghapusan Hukuman Mati, beliau kini menjelajah ke seluruh dunia menyebarkan agenda perubahan.

Bagaimanapun, Dreifuss (gambar, atas) memberitahu Malaysiakini pada wawancara Jumaat lalu di Kuala Lumpur, beliau bimbang dengan kebangkitan politik kebencian pelampau berideologi kanan di seluruh dunia.

"Krisis ekonomi tiada di sini, tetapi untuk berapa lama lagi sehingga muncul keadaan yang tidak dapat kami tangani. Perasaan benci kepada orang asing oleh golongan nasionalis dan ketidaksamaan kekayaan wujud dalam masyarakat kami, dan ini telah digunakan oleh kumpulan populis untuk mensasarkan pendatang," katanya.

Keadaan ini, jelasnya membimbangkan kerana pada bila-bila masa kaum dan perkauman digunakan untuk meminggirkan manusia, suatu hal yang perlu diambil maklum Malaysia juga.

"Saya rasa ia kebimbangan besar. Saya sangat terganggu dengannya kerana saya bersemangat untuk belajar dari sejarah dan saya dapat melihat bahawa ketidaksamaan, xenofobia (benci orang asing) dan krisis ekonomi mencetuskan perang di Eropah pada separuh pertama abad lalu," katanya, merujuk khususnya kepada dua Perang Dunia di mana perang kedua didorong kebangkitan Nazi Jerman.

Bagaimanapun, kata Dreifuss harapannya terus bersinar melihat penglibatan anak muda dalam isu-isu politik.

"Sebaliknya, saya gembira dengan golongan anak muda. Kami mempunyai begitu banyak anak muda yang cukup bersemangat untuk terlibat dalam isu-isu politik, mengenai perubahan iklim, jadi ini sangat menggalakkan," ujarnya.

Golongan pekerja rasa terbiar

Menurut Dreifuss yang juga pemimpin veteran sosialis daripada Parti Sosial Demokratik Switzerland, sekurang-kurangnya di Eropah, parti kelas pekerja tradisional telah kehilangan sentuhan dengan pengundi mereka dan ini membolehkan politik kanan menyusup masuk meraih sokongan.

"Masalah utama bagi parti saya adalah kami terlalu memperbesar tanggungjawab untuk mencapai tuntutan-tuntutan perjuangan baru, tetapi kami telah mengabaikan asas penyokong kami pada masa lampau.

"Feminisme, pergerakan LGBT, seluruh gerakan alam sekitar, tetapi kami kehilangan sentuhan dengan situasi kaum pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat globalisasi.

"Jadi, parti-parti sosialis telah kehilangan hubungan tradisional mereka dengan para pekerja, yang kini merasa tidak lagi dipertahankan oleh parti-parti ini, dan ini tidak baik kerana kelas pekerja bergerak ke arah parti populis dan nasionalis yang berkembang sangat cepat dengan menggunakan platform negatif."

Walau bagaimanapun, Dreifuss bukanlah seorang yang mudah mengalah dalam pertarungan. Ketika beliau memperkenalkan pembaharuan seperti rawatan perintis Switzerland terhadap penagih dadah, beliau menghadapi banyak bantahan golongan tradisionalis.

Tetapi melalui hasil dan pencapaian polisinya itu apabila berkurangnya jenayah dan masalah kesihatan menurun, beliau mampu membuktikan bahawa dasar yang dibawanya memiliki merit yang layak mendapat penghargaan.

"Saya mempunyai jabatan yang besar (di kementerian dalam negeri) yang mana portfolionya mencakupi daripada sains, pendidikan, keselamatan sosial sehinggalah kepada alam sekitar. Tetapi saya ingin mengatakan perasaan yang paling penting yang saya alami ketika saya berundur daripada berkhidmat dalam kerajaan adalah saya dapat membantu menyelamatkan nyawa dan memperbaiki kehidupan manusia.

"Ibu bapa dengan anak yang mempunyai penyakit sangat serius diberi bantuan, sains dipromosikan dan terdapat perlindungan sejagat insurans kesihatan.

"Saya juga berjuang untuk cuti bersalin dibayar gaji. Saya tidak dapat melakukannya, tetapi pengganti saya dapat melaksanakannya. Sama seperti saya mendapat manfaat daripada kerja presiden terdahulu daripada saya.

"Apa yang penting dalam tugas saya ialah kami belajar bekerja bersama-sama. Ini adalah kunci kejayaan, ia kejayaan yang lambat tetapi masih tetap kejayaan," kata Dreifuss.

Gambar hiasan ibu pejabat WHO di Switzerland.

Datang dari negara yang aman dan makmur, beliau sangat menyedari mengenai keadaan di seluruh dunia yang penuh dengan jurang darjat hidup dan ketidaksamaan peluang.

"Kami mempunyai beberapa negara yang bergerak pantas pada tahap pembangunan, dan ini berlaku di satu bahagian dunia.

"Tetapi begitu banyak negara lain tidak hanya tercicir di mana mereka berada tetapi barangkali akan semakin mundur. 

"Inilah hasil penjajahan, perkembangan kemajuan teknologi dan mutakhir, neokolonialisme (penjajahan bentuk baru).

"Kami masih jauh untuk menggapai matlamat mengurangkan ketidaksamaan itu," katanya.

Faktor perubahan iklim

Dreifuss ketika wawancara Malaysiakini memberitahu beliau ialah rakan peribadi Bruno Manser, aktivis alam sekitar Switzerland yang tinggal bersama suku kaum Penan Sarawak selama bertahun-tahun.

Manser hilang pada bulan Mei 2000 dan diisytiharkan meninggal dunia lima tahun kemudian oleh mahkamah Switzerland.

"Masalah semakin besar. Setiap tahun terdapat lebih banyak pembakaran hutan.

"Kita menghasilkan perubahan iklim pada kelajuan cukup pantas dan memusnahkan banyak nyawa yang bergantung kepada hutan kita.

Aktivis alam sekitar Swiss, Bruno Manser hilang di hutan Sarawak.

"Adakah sangat penting untuk mendapatkan minyak sawit sehingga perlu membakar hutan kita?

"Anda tahu kali terakhir saya berada di Kuala Lumpur lima tahun lalu, saya berada di sini selama empat hingga lima hari dan saya tidak pernah melihat matahari. Terdapat kabut coklat (jerebu) di bandar dan sekolah ditutup.

"Kenapa? Kerana hutan yang terbakar di Indonesia untuk membuka tanah bagi ladang kelapa sawit. Adakah masuk akal untuk meracuni seluruh penduduk di sini untuk memiliki ladang kelapa sawit di negara tetangga? Ini masalah besar, "katanya.

Tamat hayat tanggung azab sakit

Switzerland juga dikenali kerana membenarkan eutanasia, perbuatan menamatkan hayat seseorang yang menanggung kesengsaraan akibat penyakit yang tidak dapat disembuhkan. Tindakan ini dilakukan atas rasa belas kasihan supaya

Jika seseorang pesakit itu mengalami azab penyakit berpanjangan, maka eutanasia dibenarkan di bawah undang-undang negara itu, khususnya apabila penyakit yang dihidap, tiada harapan untuk sembuh lagi.

Terdapat ramai pesakit warga Jerman dan United Kingdom yang datang ke Switzerland untuk secara sukarela menamatkan hayat mereka.

"Terdapat orang yang (secara perubatannya) tiada harapan hidup tetapi kerana mereka tidak mahu memberi trauma kepada keluarga mereka yang tersayang, mereka lebih suka mengambil racun. Tetapi racun tidak sah di sisi undang-undang.

"Saya percaya jika orang itu menghampiri akhir hayatnya dan menanggung azab kesakitan - dan jika mereka meminta dan doktor menetapkan preskripsi supaya kehidupannya berakhir - saya akan mengatakan saya menerima hal itu," katanya.

Menjelaskan lanjut, Dreifuss berkata ramai orang datang ke Switzerland untuk mengakhiri kesengsaraan akibat penyakit yang ditanggung mereka, sesuatu yang tidak digemarinya.

"Negara saya menerima ini, dan saya akan suka jika banyak lagi negara boleh menerima eutanasia ini juga. Kami mempunyai kes-kes tragis di mana orang ramai mengalami penderitaan dan mahu mati tetapi tidak dapat melakukannya di negara mereka dengan cara yang berperikemanusiaan.

"Apakah yang lebih berperikemanusiaan? Apakah yang semula jadi? Untuk memanjangkan hayat di mana pesakit menderita tanpa dapat menikmati kualiti hidup?"

"Ramai orang datang ke Switzerland untuk mati, suatu hal yang saya tidak gemar - saya lebih suka mereka datang untuk bermain ski.

"Tetapi jika rawatan tidak lagi berkesan dan anda terus berusaha untuk menyembuhkannya, ia memanjangkan penderitaan seseorang daripada penyakit yang dihidapinya dan dia sedang berada dalam tempoh terakhir hidupnya - itu salah.

"Saya fikir anda mesti mengurangkan penderitaan dan menemani orang itu dengan kasih sayang dan menolong mereka sehingga mereka meninggal dunia secara semulajadi," katanya lagi.


BACA BERKAITAN:

Bahagian 1 - S'jaya Polisi Dadah Global sambut baik usaha Dr Dzul

Bahagian 2 - Kes doktor ganja: Hapus pembunuhan kejam oleh k'jaan, kata Dreifuss