Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

SPAN: Selamatkan Sg Muda dari pencemaran, isytihar jadi 'sungai strategik'

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa kerajaan Kedah dan persekutuan untuk mengisytiharkan Sungai Muda, yang merupakan sungai terpanjang di negeri itu, sebagai "sungai strategik".

Pengerusi SPAN Charles Santiago mencadangkan beberapa pendekatan termasuk menjadikan kawasan seluas 30 meter di kedua-dua tebing sungai sebagai kawasan dilarang masuk, memasang CCTV dan menempatkan pengawal keselamatan.

Ia berikutan penemuan kawasan pembuangan sampah haram di beberapa kawasan berdekatan sungai itu yang menurutnya berisiko mencemarkan air minuman untuk penduduk Kedah dan Pulau Pinang.

"Ini telah menjadi isu keselamatan. Kita perlu pastikan air di situ dilindungi, dan tiada orang boleh buang sampah secara haram ke dalam atau berdekatan sungai.

"Kita berisiko diracuni kerana sungai itu mungkin tercemar kerana sisa haram," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau menggesa Pihak Berkuasa Perlindungan Sungai Kebangsaan campur tangan dalam perkara itu.

 Semalam, Santiago menggesa tindakan segera diambil terhadap tapak pembuangan sampah haram di Kedah, selepas dimaklumkan oleh sumber yang tidak dinamakan berkenaannya.

Hari ini beliau berkunjung ke kawasan itu - Kampung Belinda, Baling, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Sungai Petani.

Turut menyertai kunjungan itu ialah wakil daripada Jabatan Alam Sekitar dan Solid Waste Corporation (entiti bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Mereka memeriksa kawasan pembuangan sampah haram seluas tiga ekar, dengan kedalaman lima meter.

Kawasan itu sebelum ini merupakan lombong pasir dan kini menjadi tempat pelupusan sampah yang penuh dengan sisa industri, farmasi, plastik dan kosmetik dari luar antaranya Jepun, Amerika Syarikat dan Poland.

Sisa-sisa itu dibuang di kawasan kira-kira separuh padang bola.

 Menurut Santiago, terdapat kawasan lain yang turut menjadi tempat pelupusan sampah haram.

"Saya bingung melihat kawasan itu kerana ia hanya 30 meter dari Sungai Muda, sumber air utama Pulau Pinang, dan 50,000 petani di Kedah dan Perlis.

"Sungai yang tercemar membawa risiko kepada kesihatan orang ramai, begitu juga dengan makanan dan minuman. Ini memerlukan perhatian negara," katanya.

Beliau menggesa kerajaan persekutuan dan negeri bertindak tegas kepada dalang yang menyebabkan kawasan itu dijadikan tempat pembuangan sampah.

"Pihak berkuasa tak boleh berkompromi lagi. Kawasan ini patut ditutup, ia tidak boleh lagi berlaku di kawasan ini," katanya lagi.