Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Orang Asli Gua Musang kesal Sungai Aring kini berlumpur

Masyarakat Orang Asli di Kampung Aring 5 di Gua Musang, bimbang mereka akan berdepan banjir kilat lebih kerap berikutan Sungai Aring kini dipenuhi lumpur kesan kegiatan perlombongan bijih besi.

Mereka mendakwa, banjir kilat yang memutus jalan perhubungan ke kampung itu awal Disember lalu juga berpunca daripada sungai itu dipenuhi lumpur akibat aktiviti perlombongan bijih besi itu sejak tiga tahun lalu.

Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata beliau kesal kerana masalah sungai itu berlumpur kesan aktiviti lombong bijih besi itu tidak pernah dipandang serius pihak terbabit tanpa ada tindakan sampai sekarang.

Beliau berkata bukan sahaja air sungai itu kotor dan berselut ia juga menjadikan sungai itu cetek kerana dipenuhi lumpur.

Katanya, penduduk di situ tidak lagi mengharap kepada penggunaan air sungai itu bagi keperluan harian, tetapi yang lebih penting supaya mengatasi masalah banjir kilat yang boleh terputus hubungan.

"Kami kecewa dengan syarikat perlombongan bijih besi itu yang menjadikan sasaran Sungai Aring sebagai tempat pembuangan lumpur dari pusat lombong bijih besi di kawasan bukit dekat situ," katanya di Gua Musang, hari ini.

Seorang penduduk Orang Asli, Adeh Along, 41, pula berkata, nasib baik penduduk kampung itu disediakan kemudahan air bersih tadahan bukit tidak jauh dari kampung berkenaan.

"Jika tidak, penduduk juga akan berdepan dengan pelbagai penyakit apabila terpaksa menggunakan air sungai itu yang kotor dan berlumpur," katanya.

Beliau berkata laporan masalah itu juga sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) tetapi tidak ada sebarang tindakan.

"Kami bimbang sungai itu yang semakin dipenuhi lumpur akan mudah berlaku banjir kilat yang boleh menjejaskan jalan perhubungan," katanya.

- Bernama