Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hukuman mati: Mahkamah Persekutuan arah AGC kemuka hujah lanjutan kes rayuan 4 individu

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan hujah lanjutan berhubung beberapa isu keperlembagaan hukuman mati mandatori yang dibangkitkan dalam rayuan empat individu.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, yang mengetuai panel itu, berkata mahkamah mengambil maklum bahawa rayuan tersebut membabitkan persoalan penting berkaitan perlembagaan dan meskipun AGC sudah menyatakan pendiriannya, mahkamah memerlukan hujah lanjutan, terutama daripada AGC, berhubung isu-isu perlembagaan.

Beliau berkata isu-isu itu termasuk sama ada hukuman adalah semata-mata kuasa kehakiman, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berkaitan perbicaraan adil, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkadaran dan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan berkaitan implikasi serta modifikasi undang-undang pramerdeka.

Rohana berkata mahkamah akan memperoleh bantuan dan manfaat yang besar sekiranya Peguam Negara Tommy Thomas sendiri boleh hadir pada tarikh perbicaraan seterusnya untuk membantu mahkamah.

Beliau kemudian menetapkan esok sebagai pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan baru.

Turut bersidang Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Abang Iskandar Abang Hashim, Vernon Ong Lam Kiat, Abdul Rahman Sebli, Zaleha Yusof, Zabariah Md Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Terdahulu, ketua bahagian rayuan dan perbicaraan Nik Suhaimi Nik Sulaiman berkata AGC mengambil pendirian untuk menyokong penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya lawan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat yang menyatakan bahawa mahkamah adalah satu-satunya badan yang berkuasa memutuskan hukuman.

Mengenai sama ada hukuman mati adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak berperlembagaan, beliau berkata pendirian AGC adalah bahawa ia adalah berperlembagaan dan tidak kejam serta berperikemanusiaan.

Peguam Gopal Sri Ram, yang mewakili keempat-empat individu, berkata kes mereka adalah bahawa pindaan yang dilakukan terhadap Akta Dadah Berbahaya 1983 untuk mengenakan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah tidak berperlembagaan kerana ia telah menghapuskan kuasa budi bicara mahkamah untuk mengenakan sama ada hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati bagi kesalahan itu.

Beliau berkata penghapusan kuasa budi bicara mahkamah adalah terjumlah kepada satu gangguan terhadap fungsi kehakiman.

Mengenai hukuman mati mandatori yang dijatuhkan bagi kesalahan membunuh, Sri Ram berkata Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah undang-undang pramerdeka, oleh itu mahkamah bertanggungjawab menjadikannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seorang rakyat Peru, Jorge Crespo Gomes, serta dua rakyat Afrika Selatan iaitu Letitia Bosman dan Benjamin William Hawkes telah disabitkan dan dijatuhi hukuman secara berasingan oleh Mahkamah Tinggi antara 2015 dan 2016 kerana mengedar dadah pada 2013.

Rayuan ketiga-tiga rakyat asing itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

P Pubalan pula telah disabitkan dengan kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2016.

Rayuannya telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2018.

- Bernama