Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Liputan kes dadah polis: Badan Peguam suarakan kebimbangan

Badan Peguam Malaysia hari ini melahirkan rasa bimbang apabila media tidak dibenarkan membuat liputan perbicaraan seorang anggota polis yang dituduh memalsukan dokumen dalam kes dadah. 

Dalam satu kenyataan hari ini, presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor, berkata badan itu mengakui wujudnya budi bicara hakim dalam hal melibatkan kepentingan keadilan dan perlindungan terhadap maklumat sensitif.

Dia bagaimanapun menggesa agar budi bicara itu digunakan dengan lebih bijak memandangkan tugas memberi perkhidmatan demi kepentingan awam harus menjadi perkara yang paling utama.

Abdul Fareed mengulas laporan berita bahawa semasa seorang anggota polis menghadapi pertuduhan pada 29 Jan lalu, Mahkamah Majistret Shah Alam meminta semua pihak yang tidak berkaitan dengan kes itu untuk keluar dari mahkamah.

Arahan itu turut terpakai kepada petugas media yang membuat liputan perbicaraan tersebut.

Hal itu berlaku setelah timbalan pendakwa raya membuat permohonan tersebut kepada majistret dengan hujah bahawa kes itu melibatkan hal sensitif.

Difahamkan, pertuduhan ke atas polis itu dibuat di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan untuk kesalahan pemalsuan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mainkan peranan penting

Abdul Fareed berkata Seksyen 7 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan bahawa perbicaraan terhadap apa-apa kesalahan sepatutnya dianggap sebagai terbuka yang membolehkan orang awam untuk mengikutinya.

“Keadaan-keadaan yang membuatkan peruntukan ini tidak terpakai, ada dinyatakan dalam pelbagai perundangan, ia tergantung pada budi bicara mahkamah untuk menentukan sama ada fakta-fakta kes itu memerlukan perbicaraan ‘in camera’ (tertutup),” katanya.

“Badan Peguam Malaysia mengakui budi bicara wujud demi kepentingan keadilan, keselamatan awam, dan keselamatan negara, atau untuk melindungi orang dalam kategori mudah terganggu, atau (melibatkan) maklumat sensitif.

“Pengecualian yang melibatkan perkara yang disebut di atas tidak patut disalahgunakan atas asas yang lemah, seperti sensitiviti dakwaan yang terbabit, sebagaimana yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya dalam kes ini," katanya.

Menurut Abdul Fareed lagi semasa menggunakan kuasanya, timbalan pendakwa raya memainkan peranan penting menyeimbangkan antara kebebasan media, melindungi hak awam untuk mengetahui (perbicaraan), dan menegakkan undang-undang.

Katanya kedaulatan undang-undang menuntut kesaksamaan dalam pelaksanaan keadilan (dispensation of justice), dan seseorang perlu patuh pada proses tersebut tanpa mempedulikan kedudukan atau darjatnya dalam kehidupan.

“Berkhidmat demi kepentingan awam harus sentiasa menjadi perkara paling utama.

“Kami menggesa agar budi bicara digunakan dengan lebih bijak, dan seterusnya memperkukuh lagi undang-undang serta pelaksanaannya dalam hal seumpama ini,” katanya.

[Baca berita asal]