Lelaki cuba bunuh diri kena hukuman penjara
Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang cuba membunuh dirinya dengan menjerut leher menggunakan tali nilon.
Hukuman itu dijatuhkan di sebalik usaha Putrajaya untuk tidak lagi menjadikan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah tetapi pindaan kepada undang-undang itu tidak dijangkakan sehingga pertengahan tahun ini.
Majistret Nordiana Abd Aziz menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas Mohamad Sani Isa, 38, yang mengaku bersalah mengikut seksyen 309 Kanun Keseksaan, lapor Astro Awani.
Lelaki itu tidak diwakili oleh sebarang peguam.
Seksyen 309 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mohamad Sani didakwa cuba menggantung diri dengan tali nilon dari siling di sebuah rumah di Kuala Nerus pada 23 Disember tahun lalu.
Laporan itu menebut dia melakukan perbuatan itu akibat tekanan hidup.
Sebelum ini, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor.
Hukuman penjara terhadapnya berkuatkuasa bermula tarikh tangkapan pada 23 Disember lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, pada Disember tahun lalu, berkata pihaknya telah melibatkan pihak berkepentingan untuk membanteras kesalahan bunuh diri dan berharap untuk memperkenalkan pindaan di Dewan Rakyat pada pertengahan tahun ini.
Beliau berkata kerajaan merancang untuk tidak lagi menjadikan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah tetapi sebagai masalah kesihatan mental.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai