Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hari 74: Bekas pegawai AmBank sedia beri keterangan untuk pembelaan Najib

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-74 hari ini.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.

LANGSUNG

5 petang: Mahkamah diberitahu bekas pegawai perhubungan AmBank Krystle Yap sedia untuk memberi keterangan bagi pembelaan Najib Razak esok.

Peguam Harvinderjit Singh memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pembelaan ke arah menyelesaikan pemeriksaan semula esok.

Nazlan kemudian membenarkan perbicaraan ditangguhkan untuk hari ini.

Yap antara saksi yang tidak dipanggil pendakwaan ketika perbicaraan tahun lalu, tetapi kemudian ditawarkan kepada pasukan pembelaan Najib untuk peringkat pembelaan.

Yap dirujuk dalam keterangan oleh saksi pendakwaan, antaranya bekas pegawai perhubungan AmBank Joanna Yu.


4.40 petang: Selepas lebih sejam merujuk V Sithambaram hanya menggunakan kependekan "Sitham" peguam bela Najib diminta berhenti bertindak begitu.

Sebaliknya, Sithambaram meminta peguam terbabit, Harvinderjit Singh, membuat rujukan sebagai pendakwaan, bukan "Sitham", semasa menyoal balas tertuduh.

Timbalan pendakwa raya itu bangun mencelah semasa Harvinderjit mengemukakan soalan kepada Najib dengan membuat rujukan kepada pertanyaan terdahulu yang dibuat Sithambaram.

"Mungkin kamu ingin merujuk kepada 'pendakwaan'. Rasa saya seperti sedang diadili," kata Sithambaram mengingatkan Harvinderjit, seterusnya menyebabkan peguam, pegawai lain dalam mahkamah dan orang ramai ketawa kecil.

Dengan tersenyum, Harvinderjit kemudian menyusun semula soalannya kepada Najib.


4.20 petang - Prosiding diteruskan.


4.04 petang - Prosiding berehat sebentar.


3.51 petang - Najib memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Jho Low berhubung pengurusan akaunnya.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Harvinderjit Singh, bekas perdana menteri itu berkata demikian walaupun log perbualan antara Jho Low dan pengurus AmBank, Joanna Yu.

Ketika perbicaraan tahun lepas, Yu bersaksi berurusan dengan Jho Low dalam pengurusan akaun Najib.

Harvinderjit: Dia (Jho Low melalui log perbualan dengan Yu) memberi gambaran bahawa dia menerima teks daripada anda dalam hal kredit (perbelanjaan). Adakah anda berkomunikasi dengan Jho Low berhubung pengurusan akaun anda?

Najib: Tidak.

Najib menjelaskan bahawa komunikasinya yang terhad dengan Jho Low hanya berkaitan dengan derma keluarga diraja Arab yang masuk ke dalam akaun tertuduh.

Apabila Harvinderjit bertanya mengapa Yu berurusan dengan Jho Low walaupun Jho Low tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan akaun, Najib berkata perkara itu harus ditanya pada Yu.

Najib juga sebelum ini memfailkan saman terhadap Yu dan AmBank atas dakwaan salah urus akaunnya dengan berkongsi maklumatnya kepada Jho Low.


3.03 petang - Najib memberi keterangan bahawa bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah sepatutnya berunding dengan Kementerian Luar Negeri dan Peguam Negara sebelum pergi ke Switzerland untuk cuba mendapatkan semula dana awam sebanyak RM3.6 bilion.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Farhan Read, bekas perdana menteri mengatakan bahawa Husni sepatutnya melakukan hal itu sebagai sebahagian daripada rencana yang sewajarnya sebelum ke Switzerland.

Semasa peringkat pendakwaan, Husni memberi keterangan bahawa Najib menghalangnya pergi ke Switzerland untuk mendapatkan semula pinjaman RM3.6 bilion KWAP kepada SRC International yang dihantar ke luar negara.

"Jika Husni mahu melawat dan dia mempunyai niat ikhlas, maka Kementerian Kewangan boleh menyediakan kertas Kabinet dan kemudian mengedarkannya kepada Kementerian Luar Negeri dan Peguam Negara, mungkin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Tetapi saya fikir dalam hal ini ia akan menjadi urusan Kementerian Luar Negeri dan melibatkan peguam negara untuk mendapatkan nasihat.

"Perlukan maklum balas mereka kerana ia bukan hanya perkara kewangan tetapi juga mempunyai kepentingan undang-undang.

"Saya percaya input dari AG (Apandi Ali ketika itu), yang berhubung dengan rakan sejawatannya (di Switzerland), penting bagi Kabinet untuk memutuskan sama ada Husni boleh pergi (ke Switzerland). Itu yang saya maksudkan dengan rencana yang sewajarnya," kata Najib .


2.43 petang - Prosiding diteruskan.


1.00 petang - Prosiding berehat dan akan disambung semula pukul 2.00 petang.


12.58 tengah hari - Najib memberi keterangan bahawa sangat tidak berasas untuk beliau mengambil wang dari syarikat syarikat di bawah MoF Inc seperti SRC International.

Najib berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Farhan Read, yang bertanya tentang cadangan pendakwaan bahawa tertuduh meletakkan kroni dalam lembaga SRC untuk memindahkan RM42 juta ke dalam akaun banknya.

Najib memberi keterangan bahawa perkara itu jelas dintunjukkan apabila tidak ada keterangan bertulis bahawa beliau secara khusus mengarahkan untuk memindahkan RM42 juta ke dalam akaunnya sebagai rasuah untuk memastikan kelulusan jaminan kerajaan berhubung pinjaman RM4 bilion kepada SRC.

"Saya telah lama berkhidmat dalam kerajaan, perdana menteri selama sembilan tahun. Sangat tidak berasas bagi saya untuk mengambil wang dari syarikat MoF Inc (SRC) dengan cara meletakkannya dalam akaun peribadi.

"Jika saya mempunyai niat untuk menipu, saya pastinya sangat bodoh kerana anda tidak mencuri atau menyogok dan masukkan dalam akaun anda, kerana banyak orang akan tahu mengenainya, seperti yang diketahui oleh Bank Negara.

"Saya mungkin bukan orang yang paling bijak tetapi saya tidak sebodoh itu.

"Tidak ada keterangan bahawa (saya) mengarahkan RM42 juta (dari SRC) dimasukkan ke dalam akaun saya. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dalam tahun-tahun yang saya berkhidmat dalam kerajaan," kata Najib.


12.30 tengah hari - Najib berkata beliau tidak pernah menarik diri dari mesyuarat kabinet semasa perbincangan jaminan pinjaman RM4 bilion kepada SRC kerana tidak ada ahli keluarganya yang lain dalam mesyuarat itu.

"Kerana ia tidak melibatkan anggota keluarga. Semua menteri kewangan tidak pernah mengundurkan diri dalam perkara yang sama pada masa lalu.

"Orang lain yang biasanya menasihati akan menjadi setiausaha kepada kabinet, Tan Sri Masidah yang biasanya menasihatkan para menteri jika mereka perlu mengundurkan diri.

"Dia tidak pernah menasihatkan supaya saya berundur ... tidak ada asas bagi saya untuk menarik diri saya sendiri," katanya.


12.20 tengah hari - Najib mengulangi bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC International.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Farhan Read.

"Telah dinyatakan beberapa kali bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC. Saya telah menyatakan secara berulang kali dan saya akan terus menyatakan ini," kata Najib.


11.53 pagi - Prosiding diteruskan.


11.21 pagi - Prosiding berehat sebentar.


10.50 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa kabinet tidak memutuskan lebih awal dalam meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Farhan Read, Najib berkata ini kerana para menteri kabinet boleh memberikan pandangan mereka dan boleh menentang sebarang kertas kabinet yang dibentangkan oleh perdana menteri.

Farhan bertanya mengenai isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas, sama ada jaminan kerajaan telah ditetapkan terlebih dahulu untuk diluluskan.

"Sudah tentu tidak. Ahli kabinet boleh memberikan pandangan malah kertas yang dibentangkan oleh perdana menteri boleh ditolak oleh kabinet.

"Para menteri bebas untuk memberi pandangan mereka mengenai kertas itu," kata Najib.


10.12 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa tindakan SRC International menulis kepadanya berhubung pinjaman RM3.95 bilion tidak mengatasi kuasa Kumpulan Wang Persaraan Diperbandankan (KWAP) untuk memutuskan merit permohonan pinjaman.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Farhan Read, bekas menteri kewangan itu mengatakan bahawa ia dilakukan hanya untuk memulakan proses dan bahawa beliau (Najib) tidak dapat mengatasi kuasa KWAP untuk memutuskan merit permohonan pinjaman.

"Ini akan memulakan proses untuk mempertimbangkan permohonan (pinjaman) oleh SRC. Ini tidak bermakna saya akan mengatasi kuasa panel pelaburan (KWAP).

"Menurut undang-undang, panel pelaburan mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan (keputusan permohonan). Sebagai seorang menteri, saya tidak boleh mengatasi kuasa itu," kata Najib.

Najib juga berkata perkara itu jelas ditunjukkan apabila KWAP hanya meluluskan pinjaman RM2 bilion kepada SRC pada 2011, dan bukannnya RM3.95 bilion.


10.04 pagi - DPP V Sithambaram selesai pemeriksaan balas terhadap Najib Razak.

Sebagai balasan kepada beberapa soalan oleh Sithambaram, Najib menafikan beliau tahu mengenai RM42 juta dalam akaun banknya antara Dis 2014 dan Feb 2015.

Sithambaram kemudian selesai pemeriksaan balasnya, dengan peguam pembelaan Farhan Read memulakan pemeriksaan semula terhadap tertuduh.


9.52 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak tahu sama ada kelulusan Kabinet untuk jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion dari KWAP kepada SRC International pernah dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian ketika pusingan akhir pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.

"Saya tidak tahu. Itu tugas administratif," jawab Najib.

Persoalan Sithambaram adalah berdasarkan Seksyen 2 (3) Akta Jaminan Pinjaman (Badan Korporat) 1965, yang menyatakan bahawa "menteri itu, secepat mungkin selepas jaminan di bawah seksyen ini diberikan, membentangkannya di hadapan Dewan Rakyat suatu pernyataan jaminan bersama dengan satu salinan perjanjian"

Sithambaram: Jaminan kerajaan ini tidak pernah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat?

Najib: Saya tidak tahu.

Sithambaram: Tujuan membentangkannya di hadapan Dewan Rakyat adalah untuk semua (ahli parlimen) tahu?

Najib: Ya, untuk ketelusan.

Najib juga mengakui bahawa tiada Hansard Parlimen boleh dikemukakan untuk mengesahkan sama ada ia telah dibentangkan di Parlimen.


9.49 pagi - Najib Razak masuk kandang saksi. Prosiding bermula.

Turut dilihat di mahkamah ialah DPP V Sithambaram, yang dijangka menghabiskan satu jam lagi untuk menjalankan pemeriksaan balas terhadap Najib.

Turut hadir ialah peguam bela tertuduh Muhammad Shafee Abdullah, yang dijangka memulakan pemeriksaan semula terhadap Najib selepas pendakwaan selesai pemeriksaan balas hari ini.


9.25 pagi - Tertuduh Najib Razak melangkah masuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.

Perbicaraan akan bermula sedikit lambat kemudian hari ini kerana pasukan pertahanan bekas perdana menteri perlu menghadiri perkara berasingan di Mahkamah Tinggi lain.

Prosiding berasingan berkenaan dengan keputusan mahkamah ke atas permohonan Najib, isterinya, Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Najwa untuk memeriksa barang yang disita oleh SPRM semasa siasatan 1MDB.


Pasukan pembelaan hari ini mendapat peluang untuk pemeriksaan semula terhadap Najib Razak bagi peringkat pembelaan perbicaraan RM42 juta SRC International bekas perdana menteri itu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah akan membuat pemeriksaan semula itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada hari ke-74 pendengaran hari ini.

Hari ini adalah hari pertama pemeriksaan semula Najib, selepas pendakwaan selesai pemeriksaan balas terhadap tertuduh pada 23 Jan lalu.

Seperti yang digariskan di bawah undang-undang, pemeriksaan semula adalah peluang untuk Najib, melalui soalan yang diajukan oleh pasukan pembelaannya, untuk menjelaskan sebarang isu yang timbul semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tommy Thomas dan DPP V Sithambaram.

Pada 23 Jan lalu, semasa pemeriksaan balas oleh Sithambaram, Najib antara lain memberi keterangan bahawa sukar untuk mendapatkan ahli keluarga diraja Saudi memberi jaminan kesahihan berbilion ringgit yang didakwanya merupakan derma.

Najib, yang juga bekas menteri kewangan dan penasihat SRC International, sedang dibicarakan berhubung tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang RM42 juta syarikat Menteri Kewangan DIperbadankan (MoF Inc).

[Berita lanjut menyusul]