Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MP DAP persoal aspek keselamatan majlis makan malam Bersatu

Seorang ahli parlimen DAP telah mempersoalkan dakwaan ketiadaan anggota keselamatan pada majlis makan malam Bersatu pada malam Jumaat, yang akhirnya menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa panjat pagar dan melarikan diri kumpulan yang mengepungnya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata walaupun dua orang dilaporkan ditangkap berhubung perkara itu, ada soalan yang lebih besar yang perlu dijawab oleh pihak polis.

"Di mana anggota keselamatan? Siapa yang mengetuai protokol keselamatannya dan mengapa Syed Saddiq terpaksa lari?

"Dan lebih penting lagi, di mana polis?" kata Charles dalam satu kenyataan.

"Saya gembira polis tangkap dua orang yang dipercayai bertanggungjawab atas perkar intimidasi itu, tetapi ia tidak mencukupi," tegasnya.

Charles turut mempersoalkan sama ada insiden tersebut, yang dikatakan Syed Saddiq melibatkan kumpulan atau kira-kira 200 orang, memberi gambaran masalah yang lebih besar apabila polis didakwa gagal melindungi seorang menteri.

"Jadi, menangkap mereka yang berada di belakang kejadian ini tidak cukup.

"Polis mesti mengkaji dengan teliti dalang yang secara teliti merancang gangguan ini, yang mungkin boleh menyebabkan perkara yang lebih serius sekiranya menteri tidak melarikan diri," katanya sambil menggesa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk mendedahkan hasil siasatan.

Syed Saddiq - yang merupakan ketua pemuda Bersatu - bersama ibu bapanya menghadiri perhimpunan di sebuah restoran di Ulu Tiram bersama ahli Pemuda, wanita dan bahagian Bersatu serta keluarga mereka.

Dalam video yang dikatakan memaparkan insiden itu yang beredar dalam talian, kumpulan itu boleh didengar menjerit menghalau Syed Saddiq.

Susulan itu, Syed Saddiq turut menimbulkan persoalan berhubung dakwaan yang mengatakan kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan Umno.

Dakwaan itu dinafikan oleh pemimpin Umno termasuk ketua pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki.