Mahfuz: Usaha perkasa pertuturan Inggeris di sekolah tak perlu PPSMI
Mahfuz Omar kekal dengan pendiriannya bahawa penguasaan bahasa Inggeris hanya akan berjaya dilakukan melalui pendekatan pendidikan yang bersifat pertuturan dan bukan melalui usaha mengembalikan semula pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Jelas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, ini kerana cadangan mengembalikan PPSMI belum tentu dapat membantu dan membolehkan seseorang itu menguasai bahasa Inggeris.
"Kalau mengatakan mengajar apa-apa subjek dalam bahasa Inggeris itu membolehkan seseorang bertutur dalam bahasa Inggeris adalah lebih baik bagi saya kita mengajar bahasa Malaysia dalam bahasa Inggeris.
"Itu yang lebih baik dan sebab itu saya masih dengan pendirian lama saya iaitu kita perlu kembali kepada subjek pertuturan bukan pembacaan dan penulisan," katanya kepada Malaysiakini.
Mahfuz berkata demikian mengulas rancangan pelaksanaan PPSMI oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir ketika bercakap pada mesyuarat khas di kementeriannya kelmarin berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga timbalan menteri sumber manusia berkata pihaknya amat mengalu-alukan Kementerian Pendidikan memperkenalkan subjek pertuturan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.
"Jadi, boleh dianjurkan ada hari dan waktu yang anak-anak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Contohnya, seminggu sekali semua perlu bercakap dalam bahasa Inggeris di sekolah.
"Jadi, ia dengan sendirinya akan melazimkan pertuturan tersebut di samping subjek pertuturan itu perlu dilakukan," katanya.
Keprihatinan Dr Mahathir
Bagaimanapun, Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena itu menegaskan bahawa rancangan Mahathir untuk mengembalikan semula PPSMI itu bukanlah tidak baik.
"Saya juga tidak menyatakan cadangan Dr Mahathir itu satu cadangan yang tidak baik. Tetapi, cadangan tersebut lebih kepada keprihatinan untuk Dr Mahathir melihat anak Malaysia ini menguasai bahasa Inggeris dan mendunia. Itu keprihatinan Dr Mahathir.
"Jadi, dengan cara yang saya nyatakan tadi hasrat Dr Mahathir akan tercapai dan bukannya melalui pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris,"jelasnya.
Tambah Mahfuz, pihaknya juga mahu rancangan pelaksanaan semula PPSMI itu dibincangkan di dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
"Sepanjang pengetahuan saya tak ada perbincangan apa-apa (rancangan pelaksanaan semula PPSMI dalam kabinet.
"Jadi, sebab itu sebarang cadangan bukan sahaja perlu dibawa ke dalam kabinet tetapi ia perlu dibawa kepada perbincangan Majlis PH.
"Sebab ini soal dasar yang perlu dihadamkan di peringkat political will." katanya.
Mahu tengok respons
Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya di Kuala Terengganu berkata beliau yakin Dr Mahathir mempunyai rancangan sendiri berhubung pelaksanaan PPSMI.
“Kadang-kadang Dr Mahathir pun ada dia punya langkah dia sendiri. Dia buat kenyataan itu nak tengok respons orang macam mana. Saya baca Dr Mahathir ini bukan baca yang tersurat saja, yang tersirat pun ada juga,” katanya selepas menyampaikan syarahan khas di Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia membawa tajuk “Bicara Ini Demi Perpaduan” di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, mengulas lanjut Abdul Hadi berkata terlalu awal untuknya memberikan komen balas berhubung rancangan itu.
Katanya, isu tersebut sudah menjadi perkara yang berulang-ulang di mana kenyataan itu sendiri tidak diketahui kerasmiannya.
"Itu terlalu awal, sebab itu satu kenyataan media yang kita tak tahu rasmi atau tak rasmi. Sebab ia benda yang berulang, terutamanya dalam suasana orang nak desak Dr Mahathir untuk berhenti. Jadi macam-macamlah berita yang disiarkan. Kena siasat dululah kenyataan itu," jelasnya.
Tambah anggota Parlimen Marang itu lagi, rancangan pelaksanaan PPSMI sudah pun dibuat kajian sebelum ini dan ia sepatutnya dijadikan rujukan.
"Kajian sudah dibuat dan ada hasil kajiannya. Rujuklah kajian tersebut termasuk Penyata Rahman Talib, Tun Rahman Yakub, Tun Razak dan lain-lain lagi di mana sepatutnya belajar menerusi hal itu," katanya.
Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 semasa rentang masa pertama sebagai perdana menteri.
Namun, dasar itu tidak popular, termasuk dalam kalangan parti pembangkang ketika itu seperti PKR.
Ia kemudiannya dimansuhkan pada 2011. Menurut Muhyiddin Yassin yang merupakan menteri pendidikan ketika itu, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.
Namun, ia dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.
Pada tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai