Tiada sekatan import makanan dari China - Salahuddin
Tiada sekatan ke atas pengimportan makanan dari China setakat ini, meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, bagaimanapun berkata kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan tetap melakukan pemeriksaan secara berkala ke atas makanan dari negara itu di semua pintu masuk Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kabinet telah mengarahkan kementerian pertanian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) juga memainkan peranan supaya pintu-pintu masuk kita diperketatkan.
“Antara barangan kita import (dari China) ada keratan ayam, beberapa buah-buahan dan sayuran terpilih tetapi semuanya bebas daripada virus (koronavirus). Virus ini dibawa (merebak) dari orang ke orang jadi janganlah zalim (sekatan import), melainkan ada kajian baharu dan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada seorang peserta Program Rezeki Tani di Kampung Rusila, di Marang hari ini.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang berlangsung di Geneva, hari ini, mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan koronavirus.
Sementara itu pada program tersebut, Salahuddin melawat ladang timun fertigasi milik seorang petani tempatan Zuliadin Abdullah, 50, yang sudah lapan tahun bergantung kepada kerusi roda akibat penyakit gout.
Salahuddin berkata kementerian melalui Program Rezeki Tani telah meluluskan bantuan sebanyak RM9,000 kepada Zuliadin untuk membeli peralatan ladangnya.
Katanya seramai 1,000 peserta disasarkan menerima manfaat daripada Program Rezeki Tani bagi tahun 2019 dan 2020, melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai