Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Balu mendiang bekas presiden MIC meninggal dunia

Uma Sambanthan, balu kepada mendiang bekas presiden MIC, VT Sambanthan, meninggal dunia kira-kira pada jam 1.30 tengah hari tadi.

Uma berusia 90 tahun, merupakan antara tamu kehormat yang hadir ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan "merdeka, merdeka, merdeka" pada 31 Ogos 1957.

Beliau merupakan seorang aktivis, pekerja sosial dan tokoh gerakan koperasi di Malaysia,

Uma dikenali atas kerja-kerja amal kebajikan dan memperjuangkan isu-isu serta hak wanita.

Beliau merupakan pengasas bersama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan pernah menjadi presidennya.

Beliau pernah menjadi pengerusi dan pengarah Persatuan Koperasi Kewangan Tanah Negara (NLFC) dari 1980 hingga 1995 dan memegang jawatan presiden pada tahun 1995 dan 1996.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Uma menyuarakan kritikannya terhadap kebangkitan perkauman dan pelampau agama dalam politik Malaysia.

Beliau meninggalkan seorang anak perempuan Kunjari.

Suaminya Sambanthan adalah bekas presiden MIC dan salah seorang pejuang kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock.

Sambathan pernah memegang pelbagai portfolio menteri: Buruh (1955-57), kesihatan (1957-59), kerja raya, pos dan telekomunikasi (1959-71) dan perpaduan negara (1972-74).