Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mimbar ingatkan umat Islam waspada koronavirus

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), hari ini menyentuh mengenai penyebaran wabak novel koronavirus.

Menurut teks khutbah itu, dalam situasi semasa hari ini umat Islam diingatkan agar sentiasa berwaspada dan memelihara diri serta keluarga daripada dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya, terutamanya koronavirus.

“Mimbar ingin mengambil kesempatan untuk meingingatkan para jemaah supaya sentiasa berwaspada dan memelihara diri serta keluarga daripada dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya terutamanya wabak Novel Coronavirus yang sedang menular sejak kebelakangan ini,” kata teks khutbah bertajuk Malaysia Destinasi Mesra Pelancongan Islam.

Justeru, mimbar menyeru semua agar mengambil semua langkah-langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan.

“Kita mestilah mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, sentiasa memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di tempat tumpuan ramai supaya kita dapat mengelakkan risiko-risiko jangkitan yang boleh berlaku,” kata teks itu.

Wabak koronavirus hari ini diisytihar sebagai kecemasan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila ia sudah merebak ke 18 negara.

Wabak koronavirus setakat ini mencatatkan 9,692 kes di China, dengan 213 kematian.

Di Malaysia, setakat ini, lapan kes positif koronavirus disahkan, manakala 124 kes positif lain dicatatkan di seluruh dunia, selain China dan Malaysia.

Tambah teks khutbah itu lagi, umat Islam juga diingatkan bahawa segala kebaikan, musibah penyakit sebagai peringatan daripada Allah.

Memetik Surah Ash – Shuraa ayat 30, teks khutbah itu menjelaskan bahawa ayat berkenaan menerangkan setiap bencana yang berlaku di muka bumi ini adalah disebabkan apa yang dilakukan manusia itu sendiri.

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu”, jelas teks khutbah itu.