Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Diplomasi pertahanan nusantara

KATA MP l Minggu lepas saya ke Indonesia untuk melakukan kunjungan balas terhadap rakat sejawat saya, Menteri Pertahanan Indonesia TYT Prabowo Subianto yang sudah ke Malaysia tahun lalu.

Selepas dilantik sebagai menteri pertahanan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo pada Oktober tahun lalu, negara pertama yang dilawati Prabowo ialah Malaysia dan beliau melakukan kunjungan hormat terhadap saya.

Demi meneruskan tradisi keakraban ini, saya membawa delegasi kementerian pertahanan Malaysia untuk mengunjungi beliau sekaligus membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan antara kedua-dua negara.

Untuk menunjukkan kesungguhan memantapkan diplomasi pertahanan antara kedua negara, saya memilih untuk terbang ke Jakarta menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) CN-235 buatan Indonesia.

Selain pertemuan empat mata antara saya dan Prabowo, perbincangan bilateral antara delegasi Malaysia dan Indonesia berjalan dengan begitu mesra, seperti sebuah satu keluarga yang besar.

Antara yang dibincangkan secara serius antara kedua-dua negara ini ialah tentang bagaimana untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di pantai timur Sabah khususnya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Dalam perbincangan ini juga kedua-dua negara menzahirkan keyakinan terhadap inisiatif rondaan tiga negara menerusi Trilateral Cooperative Arrangment (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk mencegah jenayah rentas sempadan daripada berlaku di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Saya menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam menjaga keselamatan kawasan perairan ini.

Saya dan Prabowo juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat bersama Setiausaha Pertahanan Filipina TYT Delfin Lorenzana pada Februari akan datang untuk membincangkan bersama usaha bagi memantapkan lagi kerjasama TCA.

Industri pertahanan

Tajuk kedua yang dibincangkan secara serius dalam pertemuan kali ini ialah bagaimana Malaysia dan Indonesia dapat bekerjasama dengan lebih erat dalam membangunkan industri pertahanan antara dua negara.

Walaupun sudah terdapat kerjasama antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini, saya merasakan kita masih boleh memantapkannya lagi demi kepentingan bersama.

Misalnya syarikat-syarikat Malaysia berupaya untuk melaksanakan maintenance, repair and overhaul (MRO) atau penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih terhadap pesawat Hercules C-130 buatan Amerika Syarikat dan sudah berupaya untuk melakukan MRO terhadap pesawat pejuang Sukhoi Su-30 buatan Russia yang turut digunakan tentera udara Indonesia.

Manakala di Indonesia, industri pembinaan pesawat dan pembinaan kapal sedang berkembang luas. Adalah merugikan sekiranya Malaysia dan Indonesia tidak memanfaatkan kepakaran yang ada demi pembangunan industri pertahanan antara kedua-dua negara.

Dalam pertemuan pada kali ini kesepakatan dicapai antara Malaysia dan Indonesia untuk meneliti dengan lebih mendalam tentang perkara ini dan membincangkan lagi dalam pertemuan pada masa akan datang untuk mengeratkan lagi kerjasama dalam industri pertahanan antara kedua-dua negara.

Selain itu kami turut membincangkan tentang Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia ke-42 yang akan diadakan di Malaysia pada tahun ini sekitar bulan September atau Oktober.

Ini merupakan mesyuarat tahunan antara kementerian pertahanan Malaysia dan kementerian pertahanan Indonesia. Sebelum ini mesyuarat ini telah diadakan di Bali, Indonesia.

Di akhir mesyuarat ini, saya turut memanjangkan jemputan kepada Prabowo dan kementerian pertahanan Indonesia untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam Defence Services Asia Exhibition and Conference (DSA 2020) dan National Security Asia 2020 (NATSEC 2020) yang akan diadakan di Kuala Lumpur dari 20 hingga 23 April tahun ini.

Diharapkan diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Indonesia akan dapat dipertingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang sekaligus memberikan manfaat kepada kedua-dua negara Asia Tenggara ini.


MOHAMAD SABU adalah menteri pertahanan Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.