Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri: Jk khas bawa balik rakyat M'sia mula tugas hari ini

Satu jawatankuasa khas bagi meneliti perkara-perkara berkenaan keperluan membawa balik rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Wuhan, China memulakan tugasnya hari ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, jawatankuasa yang diselaraskan oleh agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu akan turut melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia.

Selain itu, katanya, agensi lain akan turut dilibatkan termasuklah Majlis Keselamatan Negara dan pasukan tentera.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini, Dzulkefly berkata Wisma Putra akan melakukan perbincangan menyeluruh dengan Beijing bagi urusan membawa pulang rakyat Malaysia.

Sebanyak 78 warganegara Malaysia berada di Wuhan, tempat asal-usul penyebaran wabak novel koronavirus itu.

Setakat ini, tiada antara mereka yang dilaporkan dijangkiti wabak tersebut.

Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata keadaan di bandar Wuhan kini getir kerana berlakunya kekurangan makanan di situ.

Malaysia juga bercadang menghantar bekalan makanan dan perubatan ke Wuhan.

[Baca berita asal]