Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

AI bakal bantu hakim analisis hukuman di mahkamah KK

Mahkamah Kota Kinabalu akan menjadi mahkamah pertama di negara ini menggunakan aplikasi teknologi Kecergasan Buatan (AI) dalam menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata penggunaan aplikasi itu akan digunakan pada satu perbicaraan kes jenayah pada 17 Feb depan.

Katanya aplikasi AI ini telah dilancar pada 17 Jan lepas pada pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Kah Wah di Kuching Sarawak.

Menurutnya sebagai permulaan, AI akan digunakan untuk kes melibatkan pertuduhan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol.

"Teknologi ini dapat membantu hakim dan majistret membuat analisa hukuman yang sesuai dijatuhkan kepada tertuduh.

"AI membantu mengurangkan jurang hukuman dan memastikan kesamarataan serta konsistensi di dalam hukuman yang dijatuhkan kepada tertuduh," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat penggunaan aplikasi AI di Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya penggunaan aplikasi AI hanya akan bertindak sebagai panduan kepada pegawai kehakiman dalam membuat keputusan mereka.

Katanya sebelum menjatuhkan hukuman, hakim dan majistret akan memaklumkan kepada pihak terlibat termasuk penguam bela dan pendakwa raya hasil analisa AI.

"Bagaimanapun, budi bicara hakim dan majistret untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal masih tidak terjejas dengan pelaksanaan teknologi ini," katanya.

Liew berkata hukuman yang dijatuhkan menggunakan aplikasi ini akan menganalisis data untuk kesalahan yang dikumpulkan dari kes yang didaftarkan di Sabah dan Sarawak.

- Bernama