1MDB: Kasitah Gaddam kemuka representasi berhubung dana RM100,000
Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam akan mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan berhubung wang RM100,000 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Sasila Basri yang mewakili Kasitah memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh bahawa pihaknya akan menghantar representasi kali kedua terhadap permohonan pihak pendakwaan untuk melucut wang itu, setelah representasi sebelum ini ditolak.
"Pihak kami menerima keputusan representasi ditolak petang semalam, namun setelah berbincang dengan anak guam saya, beliau ingin mengemukakan representasi kali kedua dan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan secepat mungkin," katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Nik Haslinie Hashim berkata pihak pendakwaan dan pembelaan telah memfailkan hujahan kepada mahkamah dan memohon tarikh bicara pada 3 Mac ini.
Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan terhadap Kasitah tersebut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Ahmad Shahrir menetapkan 3 Mac untuk perbicaraan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada sidang akhbarnya tahun lepas berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai