Isu LTTE: PH khianati kepercayaan pengundi, kata MP Klang
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membidas penahanan berterusan exco Melaka G Saminathan dan 11 yang lain berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
"Saya pergi ke Mahkamah Tinggi hari ini menjangkakan keputusan itu. Ia langsung tidak mengejutkan kerana permohonan ikat jamin itu ditolak," kata Charles selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menafikan permohonan jaminan oleh Saminathan, yang juga Adun Gadek.
"LTTE bukan lagi ancaman, di Sri Lanka sekalipun, maka kerajaan PH harus menghapusnya dari senarai organisasi pengganas untuk membolehkan mereka dibebaskan dengan jaminan.
"Kita (PH) juga telah melanggar janji kepada pengundi dan mengkhianati kepercayaan mereka dengan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma untuk menangkap 12 individu ini," kata Charles dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan bahawa PH telah berjanji untuk menghapuskan aspek drakonian dalam Sosma semasa kempen pilihan raya.
"Kita memenangi pilihan raya tetapi gagal memenuhi janji. Banyak berubah sejak PH mengambil alih kekuasaan," kata Charles.
Beliau berkata sentimen telah berubah dan populariti kerajaan semakin berkurangan.
"Penganalisis politik telah memberi amaran bahawa kita perlu memastikan jika PH berhasrat untuk kekal berkuasa dan satu cara untuk memperlihatkan bahawa kita serius terhadap pembaharuan adalah dengan berhenti menahan orang atas dakwaan yang merepek," katanya.
Ahli Parlimen Klang itu juga mengulangi pandangannya bahawa 12 individu berkenaan bukan pengganas.
"Mereka bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di Sri Lanka yang dianiaya oleh tentera," kata pemimpin DAP itu.
"Oleh itu, jalan ke hadapan adalah untuk menyahsenaraikan LTTE dan membenarkan 12 individu itu dibebaskan dengan jaminan tanpa sebarang penangguhan lagi," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai