Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

K'jaan setuju secara prinsip ketatkan undang-undang berkaitan pemandu mabuk

Kerajaan bersetuju secara berprinsip untuk mengetatkan undang-undang sedia ada berkenaan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata kajian dan perbincangan akan dibuat sebelum membawa cadangan pindaan ke sidang Parlimen.

"Selepas mesyuarat kabinet hari ini, saya sudah mendapat persetujuan secara prinsip untuk Kementerian Pengangkutan melihat semula dan meminda undang-undang sedia ada, untuk ketatkan undang-undang berkenaan pemanduan (di bawah pengaruh) alkohol dan dadah.

"Kita akan bincang dengan para pemegang taruh dan pihak berkuasa yang terlibat, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Perbincangan akan mengambil masa beberapa bulan dan kita jangka akan dapat bawa pindaan untuk ketatkan undang-undang (pemanduan) di bawah pengaruh alkohol dan dadah ini ketika sidang Parlimen pada Jun atau Julai (tahun ini)," katanya ketika sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata antara peruntukan yang bakal dikaji semula ialah Seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen 41 adalah berkaitan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Seksyen 44 dan 45 pula antara lain berkenaan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Mengikut peruntukan undang-undang semasa, individu yang memandu dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum mengikut Seksyen 41 akta berkenaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum antara dua hingga sepuluh tahun dan denda antara RM5,000 dan RM20,000.

Mengikut Seksyen 44 pula, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan, boleh dihukum penjara antara tiga hingga sepuluh tahun dan didenda antara RM8,000 dan RM20,000.

Berkenaan kajian terhadap Seksyen 41, Loke berkata ia akan dilihat kembali agar "hukuman setimpal akan dikenakan kepada mereka yang memandu secara berbahaya sehingga (menyebabkan) maut."

'Had tak ikut piawaian'

Sementara itu, Loke berkata kajian undang-undang turut akan menyentuh soal kandungan alkohol dalam badan pemandu, yang menurutnya pada masa ini tidak mengikut piawaian antarabangsa.

"Misalnya dalam Seksyen 45G Akta JPJ, peruntukan sedia ada menetapkan 80 miligram (mg) alkohol dalam 100 milimeter (ml) darah (bagi had yang ditetapkan).

"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), had adalah (pada kadar) 50mg alkohol dalam 100ml darah. Aspek ini antara yang akan dikaji semula," katanya lagi.

Susulan beberapa kes kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk, sejumlah pihak telah menggesa agar hukuman untuk kesalahan itu ditingkatkan.

Polis juga telah menyuarakan gesaan sama, dengan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan berkenaan perkara itu dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ.

Koronavirus: Ikut nasihat Kementerian Kesihatan

Sementara itu, berkenaan isu wabak 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV), Loke berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan dalam soal saringan kesihatan terhadap pemandu bas.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan seorang pemandu bas di Jepun baru-baru ini yang disahkan dijangkiti koronavirus selepas membawa sejumlah pelancong dari Wuhan, China.

“Kita akan dapatkan khidmat kementerian kesihatan dan segala yang dicadangkan oleh pihak mereka dalam saringan itu,” katanya.

Ditanya tentang kesediaan kerajaan menggantung semua penerbangan melibatkan semua destinasi di China, Loke berkata keputusan tentang perkara itu akan dibuat berdasarkan keperluan.

“Kita setakat ni gantung penerbangan (melibatkan) Wuhan. Untuk bandar-bandar (lain di) China masih ada penerbangan.

"Kita akan lihat perkembangan dari masa ke masa dan lihat (jika ada) keperluan untuk berbuat demikian," katanya lagi.