Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mat Sabu: Penularan budaya takfiri ancam keselamatan negara

Amalan takfiri (mengkafirkan orang Islam) yang menular ketika ini dibimbangi bukan saja merosakkan Muslim malah mencemar agama serta memusnahkan keharmonian negara.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata parti itu memandang serius budaya berkenaan yang semakin menular dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Beliau berkata, jika tidak segera dihentikan budaya itu, ia boleh merosakkan imej Islam sekali gus memusnahkan keharmonian Malaysia seperti apa yang berlaku di Timur Tengah khususnya di Iraq dan Syria.

"Dengan kata lain, ia juga boleh menyemai sikap dan pemikiran melampau sehingga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian sebagai merujuk beberapa kejadian termasuk yang terbaru apabila seorang pemilik akaun Facebook memuat naik satu status menyasarkan Naib Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof dengan menulis "menteri agama, berjiwa kafir".


Baca Faiz kenang usaha bapa kekang takfiri dalam PAS


Sehubungan itu Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata, sehingga kini dua laporan polis dibuat masing-masing oleh Amanah Wilayah Persekutuan dan Terengganu berhubung perkara itu, semalam.

Difahamkan laporan polis itu dibuat terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ust Ibrahim Mohd Raja.

Sehubungan itu Mohamad menggesa semua pihak berperanan dalam mengekang amalan keji tersebut.

"Amanah menggesa semua pihak memainkan peranan dalam mengekang budaya tidak sihat dan bercanggah dengan ajaran agama ini, di samping melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan agar tidak berulang pada masa akan datang," katanya.