Redzuan berhasrat rebut jawatan naib presiden Bersatu
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Mohd Redzuan Md Yusof berhasrat untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden parti itu pada pemilihan parti itu tahun ini.
Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan, permintaan, serta sokongan ahli akar umbi di peringkat negeri dan pusat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata jawatan Naib Presiden Bersatu merupakan platform terbaik bagi membawa aspirasi dan amanah golongan akar umbi ke peringkat tertinggi dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
"Saya berhasrat memperkasakan kepimpinan parti, menerusi sokongan akar umbi yang diterima demi memperjuangkan kepentingan orang Melayu, agama, bangsa dan negara.
"Pada masa sama, saya juga akan mempertahankan Ketua Bahagian Masjid Tanah pada pemilihan kali ini, kerana sebelum ini jawatan itu dilantik oleh pucuk pimpinan tertinggi parti dan saya adalah antara 12 pengasas Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas," katanya kepada pemberita selepas Hari Penamaan Calon dan Penyerahan Borang Bersatu Melaka 2019 di Melaka, hari ini.
Jawatan Ketua Bahagian Masjid Tanah turut dicabar Anggota Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Setiausaha Bersatu Bahagian Masjid Tanah, A Lukman Ab Ghani.
Mengulas cabaran itu, Mohd Redzuan berkata beliau bersikap terbuka selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan Bersatu dalam kepimpinan parti itu, dan berharap pencabar dapat menunjukkan kepimpinan lebih baik, memartabatkan perjuangan orang Melayu dengan nilai integriti, bersih, amanah dan tidak membunuh karektor pencabar lain dengan mengadu domba dan fitnah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka yang juga Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen (gambar, bawah) berkata beliau turut dicadangkan akar umbi untuk bertanding kerusi Naib Presiden Bersatu, namun perkara itu masih dalam peringkat pertimbangan.
"Ada permintaan daripada akar umbi, untuk saya menawarkan diri sebagai Naib Presiden dan saya secara peribadi menghargai sokongan itu, terutama daripada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara terbuka menyatakan sokongan itu," katanya.
Mohd Rafiq yang juga Ahli MPT Bersatu berkata, keputusan sama ada mahu bertanding sebagai naib presiden atau tidak, akan diumumkan dalam masa terdekat.
Mohd Rafiq berkata beliau yang akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Tangga Batu dicabar oleh ahli biasa Bersatu Melaka Dzulkarnain Saiful Nathan.
Bersatu memperuntukkan tiga kuota bagi jawatan naib presiden yang pada ketika ini disandang Abdul Rashid Abdul Rahman dan Abdul Rashid Ansari, manakala satu lagi dikosongkan Hamidah Osman, yang meletakkan jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti pada 16 Sept 2017.
Pencalonan bagi pemilihan Bersatu bermula hari ini disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Feb sehingga 29 Mac, dengan mesyuarat di peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April.
Perhimpunan Agung Bersatu pula akan diadakan selama empat hari bermula 25 Jun ini yang turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali, sebelum perhimpunan berlangsung.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai