Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Buang bayi: Sepasang kekasih direman 4 hari

Pasangan kekasih yang dipercayai menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi perempuan ke dalam Sungai Perak berdekatan rumah Pam Lembaga Air Perak, Teluk Kepayang, Bota dekat Ipoh direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini berkata Mahkamah Majistret Batu Gajah membenarkan permohonan reman dan memerintahkan kedua-dua suspek direman sehingga Rabu ini.

Beliau berkata, operasi mencari mayat bayi yang dipercayai dibuang ke dalam Sungai Perak awal pagi semalam diteruskan 10 pagi ini dengan kekuatan lima anggota polis dan lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas usaha mencari yang dijalankan semalam gagal menemukan mayat bayi itu.

Semalam, polis menahan sepasang kekasih berusia 22 tahun di rumah masing-masing di sekitar Seri Iskandar selepas memeriksa rumah suspek wanita susulan maklumat mengenai bau kurang menyenangkan.

Siasatan awal mendapati wanita itu yang melahirkan bayinya ketika kandungan berusia tujuh bulan Selasa lepas, bertindak membungkus bayi yang meninggal dunia selepas dilahirkan itu dan menyimpannya selama tiga hari di dalam almari.

Wanita itu kemudiannya menyerahkan mayat bayi itu kepada teman lelakinya untuk dibuang ke dalam sungai.

Sementara itu, polis terpaksa menamatkan operasi mencari mayat bayi itu pada 3.30 petang susulan beberapa faktor termasuk keadaan air sungai dan laporan penilaian daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dan BBP Seri Iskandar di lokasi kejadian.

Barudin ketika ditemui di lokasi kejadian berkata kederasan air sungai, keadaan muka bumi dan keadaan di bawah sungai menjadi faktor utama operasi selaman tidak dapat dijalankan oleh pasukan bomba.

"Lokasi mayat dipercayai dibuang juga berhampiran dengan rumah pam dengan kedalaman sungai kira-kira sembilan meter (30 kaki) dan air sungai di sini deras.

"Jadi, atas faktor keselamatan, selaman di lokasi kejadian tidak dapat diteruskan kerana ia berbahaya dan kaedah pencarian di permukaan juga tidak menemui mayat bayi atau petanda lain," katanya.

Barudin berkata pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Air Perak yang bersetuju menutup pam di sungai berkenaan selama sejam bagi membantu operasi.

"Penduduk setempat di persisiran sungai diminta memaklumkan kepada polis jika mempunyai maklumat berkaitan atau objek yang mencurigakan," katanya.

Katanya, pasangan kekasih berkenaan mengakui panik dan takut sehingga melakukan perbuatan itu dan polis juga sudah membawa suspek wanita ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, semalam.

- Bernama