Rakyat M'sia di Wuhan selamat, kata timb menteri
Rakyat Malaysia di Wuhan,China yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan ekspatriat dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada wabak koronavirus.
Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya berkata pihak kedutaan Malaysia di China sentiasa memantau keadaan rakyat negara ini yang menetap di sana dan terus menyalurkan maklumat berkaitan.
"Kita memantau rakan-rakan kita yang berada di sana (Wuhan) terutama warga Malaysia dan saya berharap sangat rakyat Malaysia yang berada di sana cepat-cepat menghubungi kedutaan kita di sana.
Kedutaan kita beroperasi 24 jam untuk memantau segala maklumat dan segala permasalahan rakyat negara ini yang berada di Wuhan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE di George Town hari ini.
Marzuki berkata setakat pagi ini 1,300 orang disahkan terkena jangkitan wabak koronavirus dan peningkatan kematian juga dilaporkan bertambah daripada 21 orang kepada 46 orang, di Wuhan.
Sementara itu Marzuki berkata kerajaan tidak melarang mana-mana individu yang ingin ke Wuhan tetapi sebaik-baiknya mereka membatalkan hasrat ke sana pada masa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai