Wakil wanita dalam PBT - kenapa P Pinang terkebelakang, soal NGO
Pengarah program Pusat Wanita untuk Perubahan (WCC), Karen Lai kecewa dengan penurunan jumlah wanita yang dilantik sebagai Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Pada masa ini, hanya terdapat 19 peratus (9 daripada 48 orang) wakil wanita dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu pengurangan 4 peratus berbanding pelantikan 2018/2019 yang berjumlah 23 peratus (11 daripada 48 orang).
"Mengapa Pulau Pinang terkebelakang? Apa yang berlaku kepada perwakilan 40:40:20 yang dijanjikan?" Soal Lai dalam satu kenyataan.
Pada November tahun lepas, DAP mengumumkan parti itu mensasarkan agar wanita memenuhi kuota bagi mengisi jawatan ahli majlis PBT.
Janji Pakatan Harapan (PH) pada halaman 181 dalam Buku Harapan, khususnya di bawah "Iltizam Khas Untuk Wanita 5 (2)," menyatakan "Memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pembuat dasar di setiap peringkat adalah wanita".
Lai menggesa kerajaan Pulau Pinang mengkaji semula proses pemilihan dan memasukkan wanita yang berkelayakan dari luar parti politik untuk memberikan sumbangan mereka bagi kebaikan negeri ini.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu menarik lebih ramai mereka yang berbakat sekiranya serius memasukkan wanita yang merupakan separuh daripada jumlah penduduk di negeri itu.
"Kita perlu menyekat penurunan ini sebelum ia menjadi lebih buruk. Pemikiran luar garis parti adalah penting jika kita ingin membuat kemajuan sebenar," katanya.
Lai juga melahirkan kebimbangan ketika kerajaan negeri gagal memenuhi matlamat kuota 40:40:20 yang diumumkannya bagi perwakilan gender di semua peringkat, ia juga menunjukkan kemerosotan ke arah itu.
Beliau berkata, memandangkan bilangan wanita yang rendah yang berminat untuk tampil dan memegang jawatan awam mungkin menjadi faktor penyumbang, proses pelantikan ahli majlis perlu dikaji semula.
Beliau menambah, WCC sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri ke arah meletakkan lebih ramai pemimpin wanita sebagai memenuhi sebahagian daripada manifesto PH.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai