Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Khazanah lapor polis kertas lembaga pengarah tentang MAB bocor

Khazanah Nasional Bhd membuat laporan polis semalam berikutan kebocoran kertas lembaga pengarahnya mengenai syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Maklumat yang dibocorkan itu dikatakan termasuk cadangan penggabungan antara syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Group Bhd dan MAB.

Memetik sumber, The Edge melaporkan kebocoran itu bukan kebocoran biasa kerana keseluruhan set kertas lembaga pengarah yang sulit itu diberikan kepada sebuah portal berita yang meneribitkannya dalam beberapa siri artikel minggu ini.

"Khazanah bimbang sebarang kebocoran terang-terangan kertas lembaga pengarah yang mengandungi maklumat terperinci dan sulit akan membuatkan ia sukar melaksanakan urusan dengan pihak ketiga pada masa depan.

"Integriti terhadap proses mengenai perkara itu telah dipertaruhkan," lapor The Edge.

Khazanah ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.

Sementara itu, portal berita perniagaan, Focus Malaysia mempertahankan langkah melaporkan maklumat berkenaan.

Dalam satu kenyataan, ketua editornya, P Gunasegaram berkata rakyat Malaysia yang merupakan pemegang saham utama MAB berhak mengetahui apa yang berlaku kepada MAB.

"Hakikatnya terlalu sedikit maklumat dalam domain awam tentang apa yang berlaku dalam MAB dan kami membuat pertimbangan bahawa ini adalah satu perkara yang mempunyai kepentingan awam dan negara dan orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui apakah tahap masalah tersebut dalam MAB dan apakah langkah-langkah yang sedang dipertimbangkan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

"Kami menulis semata-mata kerana ia merupakan kepentingan awam yang besar dan penting," kata Gunasegaram, sambil menambah dokumen berkenaan tiada dalam simpanannya.

Beliau, bagaimanapun, menyatakan Focus Malaysia masih belum dituduh melaporkan berita palsu.

Beliau juga berkata mereka hanya melihat dokumen berkaitan tetapi tidak memilikinya.